Hari Sukan Negara platform pupuk kecergasan warga IPD Serian

Facebook
WhatsApp
WARGA IPD Serian menyertai aktiviti Hari Sukan Negara 2026 di Taman Rekreasi Ranchan, Serian, bagi memupuk gaya hidup sihat dan mengeratkan semangat berpasukan.

SERIAN, 12 Oktober: Aktiviti sukan menjadi antara platform penting dalam memupuk kecergasan fizikal, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), selaras dengan tuntutan tugas mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Pendekatan itu diterapkan menerusi Program Hari Sukan Negara Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian 2026 yang menghimpunkan 90 warga IPD Serian di Taman Rekreasi Ranchan, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serian, Supt Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, program yang bermula pada 8.00 pagi itu disertai lapan pegawai kanan polis, 60 pegawai rendah polis dan 22 pegawai awam.

Program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan Sang Saka Biru, diikuti lafaz Ikrar Rukun Negara, bacaan doa serta senaman regangan.

Peserta kemudian menyertai aktiviti larian merentas desa dan mendaki bukit bagi menggalakkan gaya hidup aktif serta mengeratkan hubungan silaturahim antara warga IPD Serian.

Penganjuran program itu turut memberi penekanan kepada kepentingan menjaga kesihatan dan kecergasan fizikal, selain memupuk disiplin, perpaduan serta kerjasama dalam kalangan warga kerja.

Usaha berkenaan mencerminkan komitmen PDRM dalam membentuk warga kerja yang sihat, cergas dan berdisiplin bagi menyokong pelaksanaan tugas serta tanggungjawab kepada masyarakat.

Program itu membawa tema “Sukan Memperkasa Kecergasan, Kesihatan Memacu Kecemerlangan”.

Oleh Connie Chieng