KUCHING: Persekitaran kerja yang sihat dari aspek psikososial perlu diberi keutamaan bagi melahirkan warga kerja yang produktif, berdaya tahan serta memperkukuh organisasi dalam menghadapi cabaran semasa.
Mesej itu menjadi teras Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia Peringkat Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada 5 Ogos lalu.
Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini, Sarawak diberi penghormatan menjadi tuan rumah sambutan yang menghimpunkan kira-kira 350 warga KKM dari seluruh negara.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob, yang turut diiringi Timbalan Pengarah Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal KKM, Dr. Azlihanis Hadi serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) JKNS, Dr. Azlee Ayub.
Mengangkat tema “Persekitaran Kerja Psikososial yang Sihat: Laluan ke Arah Warga Kerja yang Cemerlang dan Organisasi yang Kukuh”, sambutan itu menekankan bahawa kesejahteraan psikososial bukan lagi satu pilihan, sebaliknya elemen penting dalam membentuk organisasi berprestasi tinggi serta tenaga kerja yang sihat dan sejahtera.
Pada majlis sama, Hospital Kanowit muncul penerima Anugerah Amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Terbaik 2026 bagi kategori Hospital Jenis 4, manakala Hospital Sentosa menerima anugerah bagi kategori Institusi Perubatan.
Majlis turut menyaksikan pelancaran buku Guidelines on Prevention and Management of Tuberculosis for Healthcare Workers in the Ministry of Health serta Modul Latihan TB FRAT KKM 2026 sebagai usaha memperkukuh pencegahan dan pengurusan tuberkulosis dalam kalangan petugas kesihatan.
Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif berkenaan diharap dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan kondusif, di samping memperkasakan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan di semua fasiliti KKM.
JKNS turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam aspek kesejahteraan psikososial serta perlindungan kesihatan warga kerja selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Oleh Afiq Sallehi





