Antibiotik bukan ubat semua penyakit, AMR ancam keberkesanan rawatan

Facebook
WhatsApp
ANTIBIOTIK bukan ubat semua penyakit, AMR ancam keberkesanan rawatan. Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 22 November: Dianggap sebagai jalan mudah untuk merawat demam, selesema mahupun sakit tekak, pengambilan antibiotik tanpa kawalan atau saranan doktor sebenarnya boleh mengundang ancaman serius terhadap kesihatan sehingga meningkatkan risiko komplikasi dan kematian.

Biarpun begitu, masih ramai menganggapnya remeh dan tidak menyedari penggunaan antibiotik secara tidak wajar hakikatnya boleh menyumbang kepada masalah rintangan antibiotik, iaitu satu keadaan di mana bakteria menjadi kebal terhadap ubat sehingga mengakibatkan jangkitan semakin sukar dirawat.

Dikenali sebagai kerintangan antimikrob (AMR), masalah ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan rawatan jangkitan bahkan juga, turut berisiko memberi kesan terhadap prosedur perubatan yang memerlukan rawatan antibiotik bagi mencegah jangkitan termasuklah pembedahan dan pemindahan organ.

Menyedari keseriusan ancaman itu, Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini turut menekankan bahaya AMR yang dikenal pasti berpotensi menjadi antara ancaman besar terhadap kesihatan manusia selepas perubahan iklim, sekali gus menuntut perhatian serius dalam menanganinya.

Mengulas lanjut mengenai ancaman itu, Dr Lau Chee Lan berkata masyarakat perlu diberi penekanan dan kesedaran sewajarnya bahawa pengambilan antibiotik hanya boleh diambil apabila doktor mengesahkan seseorang itu mengalami jangkitan bakteria.  

“Bukan semua demam memerlukan antibiotik. (Gejala seperti demam, selesema, batuk atau sakit tekak tidak memerlukan antibiotik kerana kebanyakannya adalah disebabkan virus) Kita perlu tahu punca jangkitan  kerana antibiotik mempunyai spektrum tindakan berbeza.

“Tidak semua jenis antibiotik sesuai untuk setiap jangkitan. Tetapi apabila antibiotik biasa digunakan sudah tidak berkesan, pilihan rawatan jadi semakin terhad. Sebab itu kita perlu memastikan antibiotik digunakan dengan betul supaya keberkesanannya dapat dikekalkan,” katanya kepada Bernama. 

Ditemui di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) baru-baru ini, Pegawai Farmasi Kanan hospital itu berkata antimikrob digunakan secara meluas bagi merawat, jangkitan mikroorganisma terhadap manusia, namun penggunaan berleluasa mewujudkan berlakunya kerintangan AMR dan menyebabkan penyakit sukar diubati. 

Lau berkata bakteria mempunyai pelbagai cara untuk melindungi diri daripada tindakan antibiotik termasuk mengubah struktur sasaran ubat, menghalang kemasukan antibiotik ke dalam sel serta mengepam keluar ubat yang telah memasuki sel bakteria.

Lebih membimbangkan, katanya, keupayaan untuk bertahan daripada tindakan antibiotik itu juga boleh dipindahkan kepada bakteria lain melalui bahan genetik tertentu, sekali gus menyebabkan lebih banyak bakteria mempunyai ciri kerintangan. 

“Bakteria mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri untuk terus hidup, menyebabkan sebahagiannya mampu bertahan daripada tindakan antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan. Apabila antibiotik diberikan, bakteria yang sensitif terhadap ubat berkenaan akan terbunuh.

“Sebaliknyaknya, bakteria yang mempunyai ciri kerintangan boleh terus hidup dan membiak, sekali gus meningkatkan kemungkinan jangkitan semasa dan kemudiannya menjadi lebih sukar dirawat,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Antimicrobial Stewardship HCTM. 

Menurutnya, semua golongan berisiko terhadap jangkitan bakteria rintang, namun bayi, warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit kronik mungkin lebih terdedah kepada komplikasi akibat keadaan kesihatan serta pendedahan kepada rawatan antibiotik.

Selain masalah kerintangan, Lau berkata penggunaan antibiotik juga boleh menjejaskan keseimbangan bakteria baik dalam tubuh kerana ubat berkenaan bukan sahaja bertindak terhadap bakteria penyebab jangkitan bahkan turut membunuh bakteria yang membantu fungsi tubuh.

“Penggunaan antibiotik juga perlu mengikut dos, kekerapan dan tempoh rawatan yang ditetapkan doktor kerana perkara itu bergantung pada jenis jangkitan, bakteria yang terlibat, ubat digunakan serta keadaan pesakit. Paling penting, gunakan antibiotik apabila benar-benar diperlukan dan ikut arahan.

“Pada masa sama, amalkan langkah pencegahan supaya tidak mudah mendapat jangkitan,” katanya masyarakat perlu memahami penggunaan antibiotik secara berhemah antara langkah penting memperlahankan peningkatan AMR.

Keseriusan ancaman itu dapat dilihat apabila kadar kematian dalam kalangan pesakit yang dirawat di hospital akibat jangkitan serius disebabkan mikroorganisma kebal adalah kira-kira dua kali ganda berbanding pesakit yang mengalami jangkitan disebabkan mikroorganisma biasa.

Di peringkat global, dianggarkan 1.27 juta kematian berkait secara langsung dengan AMR pada 2019, manakala menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan berkaitan AMR diunjurkan menyebabkan 5.2 juta kematian di rantau Pasifik Barat bagi tempoh 2020 hingga 2030. – Bernama

Suami isteri terperangkap dalam banjir

SIBU, 22 November: Sepasang suami isteri terselamat daripada detik cemas selepas kereta dinaiki mereka terperangkap dalam banjir dengan paras air