Wajah Baharu GPS: Alexander Donald (N.49 Ngemah)

Facebook
WhatsApp
WAJAH Baharu GPS, Alexander Donald (N.49 Ngemah)

PETRA JAYA, 25 November: Selepas 33 tahun berkhidmat dalam sektor perbankan, bekas pengurus cawangan Public Bank, Alexander Donald, 58, kini bersedia membawa pengalaman profesionalnya ke pentas politik sebagai calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Ngemah.

Anak tempatan Ngemah itu pernah berkhidmat sebagai pengurus cawangan Public Bank di Bau selama tujuh tahun sebelum tampil menawarkan khidmat kepada masyarakat melalui bidang politik.

Alexander berkata, pencalonannya merupakan kesinambungan kepada khidmat yang telah diberikan kepada masyarakat, dengan memberi tumpuan kepada keperluan asas dan peningkatan taraf hidup penduduk luar bandar.

“Antara keutamaan yang mahu diberi perhatian ialah menaik taraf jalan raya, memperluas akses bekalan air bersih serta meningkatkan liputan komunikasi dan capaian internet di kawasan Ngemah.

“Masalah tekanan air rendah turut menjadi antara isu yang sering dihadapi penduduk dan memerlukan perhatian.

“Selain pembangunan infrastruktur, saya mahu meningkatkan sosioekonomi masyarakat dengan membantu petani serta usahawan baharu mengembangkan sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.

Beliau turut memberi perhatian kepada pembangunan belia melalui latihan kemahiran teknologi maklumat (IT), keusahawanan dan pengetahuan perbankan bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda di kawasan itu.

“Saya mahu memastikan golongan muda di Ngemah tidak perlu pergi jauh untuk mencari peluang, sebaliknya mereka boleh dibimbing dengan kemahiran yang diperlukan untuk membangunkan kehidupan dan kerjaya di kawasan sendiri,” tambahnya.

Menggariskan pendekatannya, Alexander berkata, tumpuannya merangkumi empat perkara utama iaitu kemudahan asas, hubungan komunikasi, peningkatan pendapatan masyarakat serta pembangunan belia.

Beliau turut menyatakan kesediaannya memikul tanggungjawab berkenaan dengan berpegang kepada prinsip memberikan perkhidmatan berintegriti dan profesional.

Untuk rekod, beliau telah menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS) sejak parti itu ditubuhkan pada 2004, namun penglibatannya dalam aktiviti politik ketika itu tidak begitu aktif kerana masih bekerja dalam sektor perbankan.

Kerusi DUN N.49 Ngemah sebelum ini disandang Anyi Jana yang memenangi kerusi berkenaan pada PRN Sarawak 2021 sebagai calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), selepas menewaskan pencabarnya dengan majoriti 261 undi.

Pada PRN-13, GPS mempertaruhkan Alexander Donald sebagai calon muka baharu bagi kerusi berkenaan selepas penyandang Anyi Jana memegang kerusi itu selama satu penggal.

Oleh Masrin Affirah