KUALA LUMPUR, 24 November: Didiagnosis menghidap diabetes tidak bermakna seseorang perlu melupakan sepenuhnya nasi atau makanan kegemaran lain kerana, kata pakar, kunci sebenar untuk memastikan paras gula dalam darah terkawal adalah saiz hidangan yang diambil serta pemakanan seimbang.
Pakar pemakanan Dr Julie Ng yang membangunkan program remisi diabetes selama 100 hari, merangkumi pelan pemakanan peribadi, sokongan pakar pemakanan dan pemantauan perubatan, sebaliknya menyarankan pengambilan setengah mangkuk nasi bagi setiap hidangan.
Bagaimanapun kuantitinya perlu disesuaikan mengikut keperluan individu, termasuk saiz tubuh dan matlamat kesihatan masing-masing, katanya kepada Bernama.
Ng yang memiliki ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pemakanan daripada Universiti Sains Malaysia dengan pengkhususan dalam intervensi pemakanan bagi pesakit diabetes, turut menggalakkan kaedah suku-suku-separuh bagi memastikan hidangan seimbang.
“Kaedah ini memastikan suku pinggan untuk nasi atau makanan berkanji lain, suku lagi untuk protein dan separuh pinggan adalah sayur,” katanya.
Ng juga menyarankan beras perang sebagai pilihan utama kerana kandungan serat lebih tinggi, diikuti beras basmati dan nasi putih. Bagaimanapun, beliau berkata pesakit perlu fleksibel dalam aspek ini, khususnya ketika makan di luar.
“Saya tidak bermaksud pesakit hanya boleh makan beras perang atau basmati kerana ada masanya pilihan ini tidak tersedia. Yang penting adalah memberi perhatian kepada saiz hidangan dan lauk yang diambil bersama-sama dengan nasi itu,” katanya.
Ng yang bertugas sebagai pakar pemakanan di DJ HealthyMax Consultancy dan berpengalaman lebih 15 tahun dalam penyelidikan serta pendidikan pemakanan berkaitan diabetes, turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap semua makanan yang dikatakan makanan sihat boleh diambil tanpa had.
Beliau memberikan contoh bijirin sarapan, yogurt berperisa buah-buahan dan minuman susu kultur yang mungkin mengandungi gula tambahan atau kanji.
Begitu juga dengan makanan kegemaran tempatan seperti nasi lemak, roti canai, mi dan kuih tradisional dengan pengambilan perlu mengambil kira saiz hidangan, waktu makan dan kombinasi makanan, katanya.
“Bagi roti canai, saya menyarankan supaya pengambilan dihadkan kepada sekeping sahaja untuk sekali makan. Roti telur juga satu lagi pilihan kerana kandungan telur dalam roti itu membekalkan protein dan membantu menjadikan hidangan lebih seimbang,” jelas Ng.
Sekiranya makan di gerai nasi campur, beliau menasihati pelanggan supaya memberi perhatian kepada pengambilan kuah dan sos yang berpotensi menambah kandungan gula, sementara kuah yang pekat pula mungkin mengandungi kanji.
Ng turut berkata pengambilan sayur-sayuran terlebih dahulu, diikuti protein dan nasi, boleh membantu mengawal peningkatan paras gula dalam darah selepas makan.
Pakar pemakanan berdaftar dengan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MAHPC) itu mengenal pasti amalan diet yang terlalu ketat sebagai antara kesilapan lazim dalam kalangan pesakit diabetes, antaranya melangkau waktu makan, mengehadkan pengambilan makanan kepada satu atau dua kali sehari serta mengelakkan sepenuhnya makanan berkanji.
“Kawalan gula dalam darah bukan sekadar tentang mengurangkan pengambilan makanan dalam jangka pendek, tetapi membentuk tabiat pemakanan yang boleh diamalkan secara berterusan,” katanya, menambah aktiviti fizikal, pengurusan berat badan dan tidur yang mencukupi juga penting untuk meningkatkan sensitiviti insulin.
Bagi mereka yang baru didiagnosis menghidap diabetes, Ng menyarankan supaya perubahan praktikal dimulakan melalui pengubahsuaian hidangan harian, di samping memantau perkembangan menerusi ujian hemoglobin terglikasi (HbA1c) yang menunjukkan purata paras gula dalam darah sepanjang tempoh tertentu.
Beliau mencadangkan supaya pesakit mengamalkan perubahan pemakanan secara konsisten selama kira-kira tiga bulan sebelum menilai hasilnya. – Bernama




