KUCHING: Menurut kenyataan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), jerebu di Sarawak dijangka berterusan dalam tempoh beberapa hari akan datang dengan tiga kawasan iaitu Kuching, Samarahan dan Tebedu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kategori tidak sihat setakat 10.00 pagi hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, Kuching merekodkan bacaan IPU 133, diikuti Samarahan (135) dan Tebedu (121), manakala 13 kawasan lain berada pada kategori sederhana dengan bacaan antara 51 hingga 100.
Kawasan yang mencatatkan bacaan sederhana ialah Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Samalaju, Lundu, Lubok Antu, Kapit, Miri, ILP Miri, Limbang dan Lawas, manakala Bario kekal berada dalam kategori baik dengan bacaan di bawah 50.
Menurut NREB, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) bagi tempoh 1 hingga 6 Ogos, sebanyak 18 titik panas dikesan di Sarawak.
Bagaimanapun, dalam tempoh sama, sebanyak 1,756 titik panas direkodkan di Kalimantan, Indonesia, dengan 905 daripadanya dikesan dalam tempoh tiga hari iaitu dari 4 hingga 6 Ogos.
Dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini pula, hanya enam titik panas dikesan di Sarawak, menunjukkan sebahagian besar punca jerebu berkemungkinan berpunca daripada luar sempadan negeri.
Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan Laporan Pergerakan Asap Jerebu yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, keadaan berjerebu di Sarawak diramalkan berterusan sehingga esok, terutama di Bau, Bintulu, Dalat, Daro, Kanowit, Kapit, Kuching, Lundu, Matu, Meradong, Miri, Mukah, Samarahan, Sarikei, Selangau, Sibu, Simunjan, Song dan Tatau.
NREB menjelaskan keadaan itu dipengaruhi Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu dan dijangka berakhir pada September, menyebabkan tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya yang berpotensi membawa jerebu rentas sempadan ke Sarawak.
Sehubungan itu, Sarawak berkemungkinan terus mengalami keadaan berjerebu dalam beberapa hari akan datang sekiranya aktiviti pembakaran biojisim di luar sempadan negeri semakin meningkat.
Orang ramai dinasihatkan supaya minum air secukupnya, mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka ketika berada di luar, terutama bagi golongan berisiko tinggi.
Pada masa sama, NREB mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan pencemaran udara, khususnya ketika cuaca panas dan kering.
Mereka yang didapati bersalah boleh didakwa mengikut Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Bab 84, Undang-Undang Sarawak, Edisi 1958), yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang awam turut diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil serta melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada Pejabat NREB berhampiran atau melalui talian hotline 082-447488 atau 082-319500. Kerahsiaan pemberi maklumat dijamin di bawah Seksyen 38 ordinan yang sama.





