KUCHING: Pembinaan bangunan tambahan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Kota Padawan dijangka memperkukuh perkhidmatan kesihatan ibu dan anak, sekali gus meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan kesihatan yang lebih berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang berkata kemudahan baharu itu merupakan langkah penting dalam memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.
“Projek ini bukan sekadar pembinaan sebuah bangunan baharu, malah melambangkan komitmen untuk mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan kepada ibu, kanak-kanak dan keluarga di Kota Padawan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan tersebut,
Menurutnya, KKIA Kota Padawan telah berkhidmat kepada masyarakat sejak 1994 dan terus beroperasi walaupun pernah berdepan pelbagai cabaran, termasuk penutupan sementara akibat masalah struktur sebelum berpindah ke bangunan baharu pada 2009 hasil kerjasama kerajaan dan rakan komuniti.
Lo turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Faedah Bersama Cina Batu 10 atas komitmen dan sumbangan mereka dalam menjayakan projek tersebut.
“Kerjasama ini menjadi contoh hubungan erat antara pertubuhan masyarakat dan kerajaan dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata penjagaan kesihatan merupakan tanggungjawab bersama, dengan kerajaan menyediakan dasar, pembiayaan dan perkhidmatan profesional, manakala penglibatan masyarakat turut memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Lo menegaskan komitmennya sebagai ADUN Batu Kitang untuk terus menyokong usaha meningkatkan kemudahan kesihatan, pendidikan dan kemudahan awam, sambil menambah bahawa pelaburan dalam kesihatan ibu dan anak adalah pelaburan untuk masa depan Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan dan semua petugas kesihatan atas dedikasi serta profesionalisme mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Pada masa sama, beliau menggalakkan penduduk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan di klinik itu termasuk penjagaan antenatal, imunisasi kanak-kanak, saringan kesihatan dan pemeriksaan kesihatan berkala bagi mewujudkan komuniti yang lebih sihat.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM), Persatuan Faedah Bersama Cina Batu 10, kontraktor, penderma, sukarelawan serta semua pihak yang menjayakan projek tersebut sebelum merasmikan bangunan tambahan KKIA Kota Padawan.
Oleh Connie Chieng





