SIBU: Kerajaan Persekutuan digesa memperluaskan senarai kelayakan penerima diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), khususnya membabitkan kenderaan komersial, industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, pelaksanaan SKDS sejak 1 Julai lalu bertujuan merasionalisasikan subsidi diesel, namun pelaksanaannya memberi kesan besar kepada sektor komersial dan industri, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat, ramai pengusaha mendakwa mereka telah dikecualikan daripada menikmati subsidi diesel walaupun menggunakannya bagi menjalankan aktiviti perniagaan.
“Di Sarawak, keadaan ini lebih mencabar kerana keluasan geografinya yang besar. Ketika kita sedang menikmati manfaat pembangunan seperti Lebuh Raya Pan Borneo, sektor industri pula berdepan cabaran baharu apabila sebahagian kenderaan tidak lagi layak menerima diesel bersubsidi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hari ini.
Beliau berkata, antara kenderaan yang didakwa tidak tersenarai ialah lori pengangkut bahan binaan, dump truck, kenderaan self-loader, pengangkut jentera berat seperti jengkaut dan jentolak, selain kenderaan skylift yang digunakan bagi kerja penyelenggaraan, penanaman dan pemasangan papan iklan.
“Semua kenderaan berkenaan digunakan bagi tujuan komersial dan industri, bukannya untuk kegunaan persendirian, justeru sewajarnya dimasukkan dalam senarai penerima subsidi diesel,” ujarnya.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan turut menggesa agar NGO, khususnya pertubuhan keagamaan dan kebajikan, diberikan kelayakan menerima subsidi diesel kerana mereka menggunakan van dan kenderaan pacuan empat roda untuk menyampaikan bantuan kepada masyarakat, termasuk di kawasan pedalaman.
“Mereka bukan organisasi yang menjana keuntungan, sebaliknya berkhidmat kepada masyarakat. Mereka tidak mempunyai pendapatan tambahan untuk menanggung kos diesel tanpa subsidi, sedangkan peranan mereka amat penting dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, semakan terhadap senarai kelayakan penerima subsidi diesel perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak wajar dianggap sebagai proses sekali sahaja.
“Kerajaan perlu terus membuka ruang kepada pihak yang benar-benar menggunakan diesel bersubsidi untuk menjalankan perniagaan dan mencari rezeki agar keperluan mereka dapat dipertimbangkan.
“Kita sedang berdepan cabaran ekonomi global yang mencabar. Justeru, saya berharap Kerajaan Persekutuan mengambil kira semua perkara ini dan memperluaskan senarai penerima diesel bersubsidi demi memastikan sektor ekonomi dan kebajikan masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Terdahulu, Tiang telah menyerahkan memorandum berhubung semakan kelayakan subsidi diesel bagi kenderaan komersial, kenderaan industri, NGO dan organisasi keagamaan kepada Pegawai Penguatkuasa KPDN Sibu, Mahathir Ali.
Oleh Akun Giman





