MIRI : Seramai 158,963 individu di Bahagian Miri sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera setakat 18 Mei lalu.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap menteri bertanggungjawab ke atas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, sebanyak 61.4 peratus pendaftaran vaksin melalui aplikasi MySejahtera iaitu seramai 158,963 orang daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk di Bahagian Miri yang berumur 18 tahun ke atas.
Katanya, kesemua kaedah pendaftaran termasuklah pendaftaran melalui laman web dan panggilan telefon telah pun direkodkan dalam pengkalan data aplikasi MySejahtera.
“Kepentingan mengambil vaksin Covid-19 ini adalah untuk mengawal penularan penyakit Covid-19.
“Apabila ramai penduduk mengambil suntikan vaksin dan membentuk antibodi, ia akan memberikan imuniti berkelompok yang cukup untuk mencegah kejadian penyakit Covid-19 yang lebih teruk dan melindungi semua lapisan masyarakat secara umumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan sumbangan alatan perubatan iaitu tiga unit Vital Signs Monitor daripada penderma yang enggan dikenali kepada Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, semalam.
Peralatan tersebut untuk keperluan Pakar Kanak-Kanak, Pakar Pembedahan dan Pakar Perubatan di Hospital Miri.
Lee mewakili JPBB Miri dan masyarakat di Miri merakamkan ucapan terima kasih kepada penderma tersebut dan juga para dermawan lain sebelum ini (yang enggan dinamakan) yang pernah menyumbangkan beberapa alatan perubatan lain kepada Hospital Miri.
“Diharapkan selepas ini akan ada lagi pihak atau individu perseorangan yang tampil memberikan sumbangan sebagai salah satu usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR ) mereka bagi membantu Hospital Miri,” ujarnya.
Oleh LIONG CHAI LING