JIM Sarawak terima kunjungan hormat Konsulat Jepun

Facebook
WhatsApp
JIM Sarawak menerima kunjungan hormat Ketua Pejabat Konsular Jepun bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

KUCHING, 7 OKTOBER: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menerima kunjungan hormat Ketua Pejabat Konsular Jepun bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, Nakasuki Hisaki, hari ini.

Kunjungan itu disambut Timbalan Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sarawak (Kawalan), Norhafiza Junaidi.

Menurut kenyataan JIM, lawatan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan dan kerjasama antara JIM Sarawak dengan Perwakilan Konsular Jepun, khususnya berkaitan urusan imigresen serta perkhidmatan kepada warga Jepun di Sarawak.

Dalam kunjungan berkenaan, JIM Sarawak turut menerangkan aliran kerja sistem GENESIS bagi proses permohonan dan pembaharuan Pas Penggajian (Employment Pass) di Sarawak.

KERJASAMA… Norhafiza Junaidi bersama Nakasuki Hisaki pada kunjungan hormat yang bertujuan memperkukuh kerjasama antara JIM Sarawak dengan Perwakilan Konsular Jepun, khususnya dalam urusan imigresen dan perkhidmatan kepada warga Jepun di Sarawak.

Penerangan itu meliputi perubahan proses selepas pelaksanaan GENESIS, termasuk tempoh pemprosesan dan penglibatan JIM Sarawak dalam proses kelulusan permohonan Pas Penggajian.

Sesi berkenaan turut menjadi platform pertukaran pandangan dan perkongsian maklumat bagi meningkatkan kefahaman mengenai prosedur imigresen yang berkuat kuasa di Sarawak.

JIM Sarawak dalam kenyataan berkata pihaknya komited memperkukuh kerjasama dengan perwakilan asing bagi memastikan urusan imigresen di Sarawak berjalan lancar.

Untuk rekod, sistem GENESIS digunakan dalam proses berkaitan permohonan dan pembaharuan Pas Penggajian di Sarawak.