BERLIN, 7 Oktober: Persaingan merebut Ballon d’Or tahun ini semakin sengit susulan Piala Dunia, dengan perdebatan mengenai siapa yang bakal dinobatkan sebagai pemenang tahun ini semakin hangat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Antara calon utama bagi anugerah berprestij itu ialah penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia Kylian Mbappe, yang masih belum pernah memenangi trofi berkenaan; pemenang lapan kali Lionel Messi, yang menamatkan karier antarabangsanya pada Selasa; pemenang tahun lepas Ousmane Dembele; Juara Piala Dunia Lamine Yamal dan Harry Kane.
Bagi Kapten England dan penyerang Bayern Munich, Kane, majlis itu juga boleh dianggap sebagai aksi di laman sendiri, memandangkan Ballon d’Or akan disampaikan di London pada 26 Oktober.
“Beliau sememangnya sangat layak menerimanya. Jika beliau tidak layak memenanginya tahun ini, bila lagi?” kata Presiden Kehormat Bayern Uli Hoeness, baru-baru ini kepada Munchner Abendzeitung.
Selaku Juara Jerman, pemenang Piala Jerman, penjaring terbanyak Bundesliga dan pemenang Kasut Emas Eropah – banyak faktor memihak kepada Kane.
“Dia semakin baik,” kata Jurulatih England Thomas Tuchel, selepas Kane menjaringkan dua gol dalam kemenangan 7-0 ke atas Croatia minggu lepas dan menjaringkan keseluruhan enam gol dalam empat perlawanan Liga Negara-Negara UEFA.
Walaupun anugerah itu merupakan penghormatan individu, segala spekulasi mengenainya mungkin tidak diperlukan.
Namun, Kane gagal menjaringkan gol ketika menentang Argentina yang dibarisi Messi pada separuh akhir, sebelum pasukan Amerika Selatan itu tewas kepada Sepanyol pada final Piala Dunia.
Dalam kalangan enam pemain Sepanyol yang dicalonkan, seorang paling lantang mempromosikan dirinya sendiri: Yamal, yang pada usia 19 tahun sudah bergelar juara dunia dan Eropah.
Yamal berkata: “Semua orang tahu bahawa saya mampu membuat perbezaan.”
“Sejujurnya, bukan tahun ini sahaja saya berada pada tahap untuk memenangi Ballon d’Or, malah sudah lebih lama. Semua orang tahu perkara itu; mereka tahu saya berbeza,” kata Yamal kepada akhbar Britain, Guardian.
Sebelum ini, beliau turut berkata bahawa Ballon d’Or sepatutnya “diberikan kepada pemain terbaik dunia” dan “bukan kepada pemain yang menjaringkan 80 gol”, kerana sudah ada anugerah penjaring terbanyak untuk tujuan itu.
Yamal hanya menjaringkan satu gol di Piala Dunia, iaitu pada peringkat kumpulan dan kenyataannya ditafsirkan sebagai sindiran terhadap Kane, yang menjaringkan 73 gol dalam pertandingan pada musim lepas.
Kane berkata: “(Kylian) Mbappé, Michael (Olise), Rodri. Terdapat ramai calon. Sebab itu mungkin terdapat lebih banyak perbincangan mengenainya tahun ini.”
Dalam Liga Negara-Negara, Yamal membuka jaringan ketika Sepanyol menewaskan England sebelum menjaringkan tiga lagi gol dalam perlawanan berikutnya.
Sebelum ini, apabila membincangkan Ballon d’Or, persoalannya sering tertumpu kepada Messi atau Cristiano Ronaldo.
Messi memenanginya sebanyak lapan kali, kali terakhir pada 2023 selepas kejayaan Piala Dunia pada penghujung 2022, manakala Ronaldo memenanginya lima kali.
Pada 2024, rakan sepasukan Yamal di Barcelona dan Sepanyol, Rodri, dianugerahkan Bola Emas, manakala setahun lalu, pemain Perancis Dembele daripada juara Liga Juara-Juara Paris Saint-Germain memenanginya.
“Ia menjadi impian setiap pemain,” kata Kapten Perancis, Mbappe, ketika menjelaskan kriteria penerima trofi itu kepada penyiar RFI.
“Jadi, ia merupakan anugerah individu dan saya fikir perkara itu mesti diutamakan berbanding segala-galanya. Sudah tentu, perkara lain tidak boleh diketepikan, tetapi keupayaan menghasilkan persembahan individu yang luar biasa dan memukau penonton merupakan perkara yang mengagumkan orang ramai tentang anugerah seperti ini,” katanya.
Mbappe mungkin turut merujuk kepada 10 gol yang dijaringkannya di Piala Dunia ketika Perancis menamatkan saingan di tempat keempat.
Bekas juara dunia Jerman, Thomas Muller menganggap Mbappe dan Olise, pemain dengan jumlah bantuan gol terbanyak di Piala Dunia yang memulakan musim baharu dengan masing-masing menjaringkan empat gol dan menghasilkan dua bantuan gol dalam Bundesliga serta Liga Negara-Negara, sebagai pencabar utama.
“Bagi saya, terdapat dua calon yang paling mengagumkan saya menerusi prestasi individu mereka, iaitu Michael Olise dan rakan gandingannya yang serasi di Piala Dunia, Kylian Mbappe,” tulis Müller dalam surat beritanya.
“Kedua-duanya menggabungkan persembahan menarik dengan ancaman di hadapan gawang,” katanya.- Bernama-dpa




