Umat Islam diminta waspada Gerakan Zaman Baharu

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 7 Oktober: Umat Islam diingatkan supaya berwaspada terhadap fahaman Gerakan Zaman Baharu (New Age Movement) yang membawa kepercayaan berkaitan tenaga, kuasa alam dan kerohanian.

Menurut Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim, fahaman itu bukan satu agama atau pertubuhan tertentu, sebaliknya merangkumi pelbagai kepercayaan dan amalan yang mengambil unsur daripada agama, falsafah, psikologi dan kerohanian.

“Fahaman berkenaan boleh disampaikan secara terselindung melalui program motivasi, pembangunan diri, penyembuhan dan rawatan alternatif.

“Antara konsep yang sering dikaitkan dengan fahaman itu termasuk tarikan sejagat, manifestasi, tenaga sejagat, frekuensi tenaga, mata ketiga, diri lebih tinggi dan kebangkitan rohani,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, sesetengah pendekatan turut menggunakan istilah seperti kuantum, frekuensi, getaran dan tenaga untuk menerangkan atau menyokong dakwaan tertentu.

“Penggunaan istilah tertentu semata-mata tidak menjadikan sesuatu program sebagai Gerakan Zaman Baharu.

“Penilaian hendaklah berdasarkan kandungan, kepercayaan dan amalan yang dibawa.

Jelasnya, umat Islam perlu berhati-hati terhadap kepercayaan yang bercanggah dengan akidah, syariat dan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Antaranya termasuk kepercayaan berkaitan ketuhanan, perkara ghaib, kuasa alam semesta, penjelmaan semula, karma serta dakwaan bahawa manusia mempunyai unsur atau kuasa ketuhanan dalam dirinya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Jabatan Mufti Sarawak berkata Islam mengiktiraf keperluan manusia untuk mendapatkan ketenangan jiwa dan memperbaiki diri.

Namun, aspek kerohanian bagi umat Islam hendaklah berasaskan al-Quran, al-Sunnah dan panduan ulama melalui amalan seperti zikir, doa, taubat, sabar, syukur dan tawakal kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

Jabatan itu turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah percaya atau menyertai sesuatu program hanya berdasarkan nama atau istilah yang digunakan.

“Sebaliknya, masyarakat disaran meneliti kandungan program, latar belakang penceramah, modul dan cara program itu dijalankan.

“Sekiranya mempunyai keraguan mengenai sesuatu program, ajaran atau amalan berkaitan akidah dan syariat, masyarakat hendaklah merujuk kepada pihak berkuasa agama,” ujarnya.