Motif kontemporari pada kain rentang KIA, keputusan diserah kepada MAB

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Penutupan Program Wanita Masa Hadapan Sarawak (Sarawak Women of Tomorrow, SWOT) 2026 Musim Kelima di Damai Lagoon Resort, Santubong, hari ini.

KUCHING, 7 Oktober: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata penggunaan motif kontemporari pada kain rentang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) boleh diterima, dengan keputusan untuk mengekalkan atau menurunkannya diserahkan kepada Malaysia Airports Berhad (MAB).

Menurut beliau, motif yang digunakan pada kain rentang berkenaan masih mempunyai unsur kesenian Sarawak dan Malaysia, meskipun tidak menampilkan corak tradisional secara langsung.

Katanya, MAB telah memberikan penjelasan berhubung penggunaan motif tersebut selepas perkara berkenaan mendapat perhatian media dan dipersoalkan di media sosial.

“Motif yang digunakan tidak semestinya mengambil corak tradisional secara terus, tetapi masih mempunyai elemen batik, pua kumbu serta kesenian Sarawak dan Malaysia yang diterjemahkan dalam bentuk lebih kontemporari.

“Tidak semestinya setiap pintu masuk ke Sarawak perlu memaparkan pua kumbu, kesenian Orang Ulu atau motif Sarawak secara khusus.

“Seni itu bersifat sejagat. Sukar untuk kita mengatakan ini seni Indonesia dan ini seni Semenanjung Malaysia. Jangan terlalu parokial atau berfikiran sempit, sebaliknya kita perlu melihatnya daripada sudut yang lebih besar,” katanya.

BERCAKAP… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Wanita Masa Hadapan Sarawak (Sarawak Women of Tomorrow, SWOT) 2026 Musim Kelima di Damai Lagoon Resort, Santubong, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Wanita Masa Hadapan Sarawak (SWOT) 2026 Musim Kelima di Damai Lagoon Resort, Santubong, hari ini.

Abdul Karim berkata, beliau sebelum ini berpandangan bahawa kain rentang berkenaan wajar diturunkan sekiranya tidak menampilkan langsung sebarang unsur kesenian Malaysia atau Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, MAB telah merujuk perkara tersebut kepada unit kesenian Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang mempunyai kepakaran dalam bidang seni, termasuk berkaitan motif dan batik.

“Apabila saya melihatnya, terdapat unsur seperti bunga dan manggis. Mungkin ia tidak menggambarkan bunga manggis yang sebenar, tetapi unsur tersebut ada ditampilkan.

“Sebab itu saya katakan ia bersifat kontemporari dan kita menerima pendekatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, keputusan sama ada kain rentang berkenaan dikekalkan atau diturunkan adalah terpulang kepada pihak MAB.