SWOT 2026 perkasa wanita, lebih 200 dilatih sejak 2021

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bergambar bersama peserta Program Wanita Masa Hadapan Sarawak (SWOT) 2026 Season 5 di Damai Lagoon Resort, Santubong, hari ini.

SANTUBONG, 7 Oktober: Program Wanita Masa Hadapan Sarawak (Sarawak Women of Tomorrow, SWOT) yang memasuki tahun kelima penganjurannya telah melatih dan membangunkan lebih 200 wanita usahawan sejak diperkenalkan pada 2021.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program berkenaan penting dalam memperkasakan wanita, khususnya mereka yang memimpin agensi, badan wanita serta organisasi berkaitan pembangunan wanita.

Beliau berkata, penganjuran SWOT diharap dapat memberi semangat kepada golongan wanita untuk terus meningkatkan kepimpinan mereka.

“Saya amat tertarik sekali dengan program yang telah diadakan untuk memperkasakan golongan wanita, terutama sekali mereka yang memimpin agensi-agensi ataupun badan-badan wanita ataupun berkaitan dengan perkembangan wanita.

“Harapan kita adalah dengan adanya program seperti ini ia akan memberi semangat yang tinggi untuk mereka yang kita harap memimpin golongan wanita ke tahap yang lebih tinggi lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan SWOT 2026 Season 5 di Damai Lagoon Resort, Santubong, hari ini.

MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bergambar bersama peserta Program Wanita Masa Hadapan Sarawak (SWOT) 2026 Season 5 di Damai Lagoon Resort, Santubong, hari ini.

Dalam pada itu, Pengasas dan Timbalan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita (Women Leadership Foundation, WLF), Datuk Zunaidah Idris berkata, program SWOT bermula pada 2021 dengan kumpulan kecil sebelum berkembang sehingga berjaya melatih dan membangunkan lebih 200 wanita usahawan.

Katanya, program berkenaan turut menghasilkan beberapa kisah kejayaan dalam kalangan peserta yang pernah menyertainya.

“Ceritanya bukan sahaja pasal buat program, tetapi terdapat banyak kisah kejayaan daripada mereka yang menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata, antara alumni SWOT ialah Sharnaz Sabri yang membangunkan A Protege, selain beberapa pemimpin daripada Petros dan Petronas.

Sementara itu, sebagai Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Abdul Karim berkata, program berkenaan turut menampilkan penceramah yang mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing.

Katanya, antara yang terlibat termasuk pemimpin wanita daripada Shell Sarawak dan Petronas serta tokoh kulinari, Datuk Chef Wan.

“Perkongsian pengalaman mereka yang menjadi peserta kepada program ini sangat memberi inspirasi,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud