BINTULU: Penganjuran aktiviti sabung ayam tidak dibenarkan semasa perayaan Hari Gawai nanti apabila Kerajaan Sarawak menghentikan pengeluaran lesen kegiatan tersebut.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Residen agar tidak mengeluarkan lesen sabung ayam.
“Saya minta maaf kepada komuniti Dayak kerana langkah ini adalah untuk rakyat supaya lebih berjaga-jaga semasa perayaan Hari Gawai tahun ini.
“Hal ini terpulang kepada kita kerana banyak lagi sambutan Gawai pada tahun-tahun akan datang,” katanya, pada sidang media selepas meninjau keadaan Covid-19 di Bintulu pada Rabu.
Melihat peningkatan kes Covid-19 yang agak membimbangkan di Bintulu dalam tempoh dua bulan ini, Abang Johari berkata, langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) dan JPBB Bintulu telah berjaya mengurangkan jangkitan di daerah itu.
“Hari semalam, hanya 44 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Bintulu dan ini adalah hasil langkah penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat di beberapa kawasan yang disasarkan.
“Jumlah kes Covid-19 telah berkurang, jadi langkah-langkah ini akan terus dilaksanakan,” jelasnya.
Kata beliau lagi, beberapa langkah bakal dilaksanakan menjelang perayaan Hari Gawai tidak lama lagi memandangkan Hari Raya Aidilfitri lepas yang disambut sehari sahaja dipantau dengan berkesan.
“Oleh itu, saya memohon kerjasama semua ketua komuniti dan tuai rumah agar memastikan SOP sentiasa dipatuhi pada sambutan perayaan nanti demi mengekang penularan kes.
“Mari kita lebih berdisiplin pada Hari Gawai ini dan harap dapat menyambutnya seperti biasa pada tahun akan datang setelah Covid-19 tiada lagi, jadi sekarang kita terpaksa berkorban sedikit untuk masa depan,” ujarnya.
Oleh CAROLYNE UTIH