Polis rampas telefon lelaki rakam video aibkan wanita, reman dua hari

Facebook
WhatsApp
SUSPEK yang ditahan bagi membantu siasatan kes merakam video mengaibkan kehormatan wanita.

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki merakam video yang mengaibkan kehormatan seorang wanita di Pesta Makanan Kuching (Kuching Food Festival), MBKS, Jalan Padungan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan sekitar 9.20 malam pada 1 Ogos di sekitar Kuching susulan siasatan polis terhadap kejadian itu.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit berjenama Samsung yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang bertujuan mengaibkan kehormatan seseorang. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Alexson menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menghormati privasi dan maruah individu serta tidak melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang perlakuan jenayah supaya menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-241133.

Oleh Connie Chieng