Jesus: Cristiano Ronaldo akan tentukan masa depannya bersama Portugal

Facebook
WhatsApp
Cristiano Ronaldo. Foto AFP

LONDON, 5 Oktober: Ketua jurulatih Portugal Jorge Jesus membuka peluang kepada Cristiano Ronaldo untuk kembali menyertai skuad kebangsaan, lapor PA Media/dpa.

Ronaldo meninggalkan kem skuad kebangsaan selepas tidak diturunkan ketika Portugal menang 2-1 di tempat lawan menentang Norway dalam saingan Liga Negara-Negara pada 27 September.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu berjanji akan ‘menceritakan perkara sebenar’ apabila tiba masanya susulan pertikaian yang mengancam untuk menamatkan karier antarabangsa penyerang Al Nassr itu, yang telah menjaringkan rekod 146 gol dalam 234 penampilan bersama Portugal.

Bagaimanapun, selepas kemenangan 2-1 di laman sendiri ke atas Norway pada Ahad, Jesus berkata pada sidang media: “Jika dia mahu, dia akan kembali menyertai skuad kebangsaan.

“Kami boleh berbincang sebelum pemilihan skuad seterusnya, tetapi Cris yang akan membuat keputusan.

“Ketika pemilihan skuad pertama saya, saya berkata, ‘Saya perlukan anda, saya perlukan anda berada dekat dengan saya, sama ada bermain atau tidak, saya perlukan anda.’ Dan sekarang saya mengatakan perkara yang sama.”

Ronaldo diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Portugal mencatat kemenangan dalam aksi pembukaan Liga Negara-Negara menentang Wales di laman sendiri, namun keputusan Jesus untuk tidak menurunkan pemain berusia 41 tahun itu di Oslo mencetuskan pertikaian secara terbuka.

Beberapa hari kemudian, Jesus cuba meredakan spekulasi mengenai perselisihan atau perbincangan krisis dalam kem pasukan susulan ketibaan tidak dijangka Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal Pedro Proença.

Bagaimanapun, Ronaldo mengeluarkan kenyataan di Instagram yang mengesahkan beliau meninggalkan kem Portugal, sekali gus menimbulkan kemungkinan karier antarabangsanya yang mencipta rekod bakal berakhir.

“Selepas sidang media skuad kebangsaan dan susulan perbualan dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, saya membuat keputusan untuk meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan,” kata Ronaldo menerusi Instagram.

“Apabila tiba masanya, saya akan memberitahu seluruh rakyat Portugal perkara sebenar mengenai sebab yang mendorong saya meninggalkan skuad kebangsaan yang sentiasa saya berikan sepenuh komitmen.

“Sekarang tiba masanya untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Portugal dan semua rakan sepasukan saya, tanpa terkecuali.”

Jesus menyaksikan Portugal bangkit dengan kemenangan 4-2 di Denmark sebelum menamatkan aksi antarabangsa kali ini dengan kemenangan di laman sendiri ke atas Norway untuk menduduki tangga teratas Kumpulan Empat dengan mengutip maksimum 12 mata daripada empat perlawanan. – Bernama

Turkiye dilanda gempa bumi magnitud 5.2

ISTANBUL, 4 Oktober: Gempa bumi bermagnitud 5.2 direkodkan di wilayah Osmaniye, tenggara Turkiye hari ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan