Dua lelaki ditahan selepas positif saringan dadah

Facebook
WhatsApp
DUA lelaki ditahan selepas didapati positif saringan dadah.

BAU, 6 Oktober: Dua lelaki ditahan selepas didapati positif amphetamine dan methamphetamine dalam ujian saringan awal air kencing di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bau, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 33 tahun itu menjalani ujian saringan antara 12.30 hingga 12.35 tengah hari pada 5 Oktober.

Katanya, kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Serikin, Bau, didapati positif amphetamine dan methamphetamine sebelum ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kedua-dua suspek mengaku dalam soal siasat awal bahawa mereka mengambil syabu pada hari mereka ditahan,” katanya.

Haide berkata, tiada dadah atau barangan lain dirampas dalam tindakan berkenaan.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh dan merupakan warganegara Malaysia kini ditahan di lokap Balai Polis Bau untuk siasatan lanjut.