LUNDU, 4 Oktober: Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel di Kampung Trombol, Lundu, kata Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Barry William.
Beliau berkata suspek ditahan oleh sepasukan Petugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan kira-kira 10.15 malam semalam di tepi Jalan Selang berhampiran simpang Kampung Sungai Belian.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes kecurian kabel bersama seorang rakannya yang dikenali sebagai ‘Sahdan’, yang telah ditangkap sebelum ini berhubung satu lagi laporan polis.
“Suspek turut memaklumkan bahawa mereka pergi ke Kampung Trombol dengan menaiki motosikal milik bapa Sahdan, bernombor pendaftaran QRM 8607, dengan tujuan mencuri kabel kuasa DC bagi peralatan wireless RRU serta GI flexible conduct,” katanya.
Barry berkata tangkapan itu mempunyai kaitan dengan dua laporan polis yang dibuat di Balai Polis Batu Kawa pada 16 September di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tiga kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan satu kes di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Beratok untuk siasatan lanjut.




