MIRI: Sebuah kenderaan pacuan empat roda musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran di Lorong Lintang 5, Vista Perdana, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.15 malam itu, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.15 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, komander operasi mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar kira-kira 70 peratus, terutama di bahagian hadapan.
“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan salur bantu mula dengan satu aliran dan satu nozel bersama buih pemadam (foam). Api berjaya dikawal pada 9.31 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba turut menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran atau bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada 10.17 malam.
Katanya, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling*





