Ismail Lasim angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan

Facebook
WhatsApp
AHLI Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu hari ini. Ismail, 67, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 11.29 pagi. Foto Bernama

KUALA PILAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu hari ini.

Ismail, 67, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini, pada 11.29 pagi.

Berangkat sama ke Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Yang turut hadir Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan serta wakil-wakil rakyat Negeri Sembilan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Ismail memenangi kerusi DUN Juasseh dengan majoriti 4,091 selepas meraih 6,907 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Aidil Abdullah yang memperoleh 2,816 undi dan Mohd Zuhaimi Md Yusof daripada Bersatu dengan 506 undi.

Keputusan PRN Negeri Sembilan semalam menyaksikan BN berjaya memperoleh 18 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) dengan tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini, melibatkan 103 calon.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, PH memenangi 17 kerusi DUN, diikuti BN (14) dan PN (lima), menyaksikan pembentukan kerajaan negeri PH dan BN.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah BN Negeri Sembilan menarik sokongan daripada kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April, sekali gus membuka laluan untuk PRN diadakan.

Untuk berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.- Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman