Kapal nelayan musnah, 10,000 liter diesel berjaya dikawal

Facebook
WhatsApp
PADAM...Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan buih pemadam kebakaran bagi memadamkan kebakaran sebuah kapal nelayan di Miri, semalam.Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke kapal, bot serta rumah pekerja yang berhampiran. foto BBP Lutong.

MIRI: Sebuah kapal nelayan musnah 100 peratus dalam kebakaran  di sini semalam, namun tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke kapal lain, bot serta rumah pekerja berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang sebelum anggota dari BBP Miri Sentral dengan bantuan BBP Lutong bergegas ke lokasi.

Menurutnya, setibanya di lokasi didapati sebuah kapal nelayan berukuran sekitar 18.3 meter panjang dan 4.3 meter lebar sedang terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah buih pemadaman  bagi menyelimuti permukaan sekitar 10,000 liter bahan api diesel yang terbakar.

“Sebanyak 18 tong foam digunakan sepanjang operasi bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya,” katanya di sini.

Beliau berkata, anggota bomba turut memecahkan lantai kapal menggunakan peralatan khas bagi membolehkan semburan buih memasuki empat kompartmen tangki diesel di bahagian bawah kapal.

Katanya,kaedah menyelimuti sepenuhnya  dengan buih pemadaman kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Dalam kejadian itu, pemilik kapal, Ting Tiew Hing, 56, mengalami kecederaan melecur tahap pertama pada pipi dan lengan kanan ketika cuba memadamkan kebakaran sebelum ketibaan bomba.

“Mangsa dibawa oleh ahli keluarganya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala operasi pemadaman berjaya menghalang api daripada merebak ke kapal dan bot lain serta rumah pekerja berhampiran,” katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Oleh Liong Chai Ling

Kuarters sekolah lama musnah 100 peratus dalam kebakaran

BEKENU: Sebuah kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri jenis tidak kekal satu tingkat yang sudah lama dan tidak berpenghuni musnah 100 peratus dalam kebakaran di sini hari ini. Bangunan berukuran kira-kira 30 x 20 kaki persegi itu terbakar sepenuhnya ketika pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi. Menurut kenyataan BBP Batu Niah, panggilan kejadian itu telah diterima pada 9.31 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejauh 63 kilometer.  “Tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan beberapa pekerja yang berada di lokasi turut berusaha memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada paip berhampiran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba. “Hasil pemeriksaan awal mendapati kuarters berkenaan merupakan bangunan lama dan usang serta tidak mempunyai sambungan bekalan elektrik selain tidak berpenghuni. “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Batu Niah menjalankan penilaian awal sebelum melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” kata kenyataan itu.  Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya sebelum operasi diteruskan dengan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahagian yang berpotensi menyebabkan kebakaran semula. “Pasukan turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan dan keadaan disahkan selamat,” katanya lagi.  Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Turut berada di lokasi ialah dua anggota dari Balai Polis Bekenu bagi membantu kawalan dan keselamatan di tempat kejadian.