76 pintu rumah panjang kosong musnah dijilat api

Facebook
WhatsApp
MUSNAH...Sebuah rumah panjang yang tidak lagi dihuni musnah dalam kebakaran di Rumah Panjang Changai Lama, Ulu Niah, dekat sini petang tadi.

MIRI: Sebuah rumah panjang yang tidak lagi dihuni musnah dalam kebakaran di Rumah Panjang Changai Lama, Ulu Niah, dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, rumah panjang jenis tidak kekal yang mempunyai 76 pintu berkenaan hangus sepenuhnya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.26 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 34 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba pada 6.58 petang, didapati keseluruhan rumah panjang telah terbakar 100 peratus.

“Rumah panjang berkeluasan kira-kira 200 x 600 kaki persegi itu bagaimanapun tidak didiami, menyebabkan tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban,” katanya.

Operasi pemadaman diketuai PBT II Nasir Drahman dengan menggunakan dua aliran hos dan empat pancutan.

Bekalan air diperoleh daripada pam jentera serta sumber air terbuka di parit berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal pada 8.15 malam dengan bantuan anggota BBP Lopeng, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Oleh Liong Chai Ling