SIBU: Keputusan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Semenanjung Malaysia memberi isyarat jelas terhadap perubahan landskap politik negara dan berkemungkinan mendorong Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal daripada jangkaan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, keputusan pilihan raya di Sabah, Johor dan terbaru di Negeri Sembilan menunjukkan prestasi Pakatan Harapan (PH) tidak lagi sekuat sebelum ini, sekali gus mencerminkan perubahan sentimen dalam kalangan pengundi.
Menurutnya, perkembangan itu turut memperlihatkan perubahan corak kerjasama politik di peringkat nasional, termasuk hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), yang berpotensi mempengaruhi tarikh PRU akan datang.

“Saya menjangkakan PRU mungkin diadakan lebih awal daripada yang dijangka, kemungkinan besar pada awal tahun depan dan bukannya sehingga penghujung penggal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Grolite GoBald Satellite Shave, hari ini.
Mengulas mengenai PRN Sarawak, Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) termasuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing sejak tahun lalu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata, SUPP turut menilai beberapa calon baharu yang berpotensi, khususnya daripada golongan muda, di samping mengekalkan kebanyakan penyandang, tertakluk kepada keputusan muktamad kepimpinan parti.
Menyentuh pendirian GPS di peringkat Persekutuan, Tiang yang juga Naib Presiden SUPP menegaskan gabungan itu akan terus mengutamakan kepentingan Sarawak dan bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan, selagi ia membawa manfaat kepada negeri serta selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 semalam, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 11 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tujuh kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memaklumkan seramai 646,084 pengundi atau 72.64 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing, melibatkan pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa.
Oleh Akun Giman





