Era Petros bermula, kilauan ’emas hitam’ kembali menjelma selepas 54 tahun

Facebook
WhatsApp

INDUSTRI minyak dan gas di Sarawak merupakan antara yang tertua di Asia Tenggara dan menjadi asas kepada pembangunan ekonomi negeri ini. Ia juga meletakkan Sarawak antara pengeluar minyak utama di rantau ini. Itu kisah 100 tahun dulu.

Sejarahnya bermula lebih seabad lalu dan melalui beberapa fasa penting. Segala-galanya bermula apabila Rajah Charles Brooke memberikan konsesi perlombongan minyak kepada Anglo-Saxon Petroleum Company, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Shell.

Sekarang, selepas lebih 50 tahun sejak pengeluaran minyak daratan terakhir pada 1972 di Miri, kilauan emas hitam kembali menjelma di Bumi Kenyalang apabila Petroleum Sarawak Berhad (Petros), mula merintis kejayaan awal melalui pengeluaran minyak pertamanya di medan Adong Kechil West (AKW) berhampiran Marudi.

Dengan itu, Sarawak kini berada di landasan tepat untuk mengembangkan industri hiliran, khususnya dalam pengeluaran ammonia dan hidrogen biru.

Kejayaan syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak itu membuka lembaran baharu dalam penguasaan industri minyak dan gas oleh anak Sarawak sendiri.

Penemuan dan kejayaan itu diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Perhimpunan Hari Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang di Sibu 22 Julai lepas, sebagai hadiah sempena hari bersejarah itu.

GRAND Old Lady di Bukit Kanada, Miri.

Menurut Abang Johari, pengeluaran awal sebanyak 800 tong sehari atau kira-kira 24,000 tong sebulan itu membuktikan Petros kini berjaya melangkah sebagai pemain industri minyak dan gas yang berkeupayaan meneroka serta mengurus sumber tenaga negeri sendiri.

“Itu hanya pengeluaran daripada satu telaga,” katanya yang menyifatkan kejayaan Petros setakat ini  mencerminkan hasil pelaksanaan dasar jangka panjang kerajaan Sarawak yang memberi penekanan kepada penguasaan sumber strategik negeri serta pembangunan industri hiliran bernilai tinggi.

Penemuan minyak pertama (1909-1910)

Ia bermula apabila Rajah Charles Brooke memberi konsesi perlombongan minyak kepada Anglo-Saxon Petroleum Company, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Shell.

Pada 10 Ogos 1910, kerja-kerja penggerudian dimulakan di Bukit Kanada, Miri dan pada 22 Disember 1910, minyak berjaya ditemui di telaga Miri No.1 yang kemudian dikenali sebagai ‘Grand Old Lady’.

RAJAH Charles Brooke.

Penemuan ini merupakan telaga minyak pertama di Malaysia dan menjadi titik permulaan industri petroleum negara.

Fakta menarik:

Telaga “Grand Old Lady” hanya menghasilkan sekitar 83 tong minyak sehari pada peringkat awal, namun penemuan itu merintis jalan kepada penemuan ratusan medan minyak dan gas lain di darat serta luar pesisir Sarawak.

Era pembangunan Shell (1910-1950-an)

Selepas penemuan itu, Miri berkembang pesat daripada sebuah perkampungan nelayan kepada bandar minyak. Shell membina kilang penapisan minyak pertama di Sarawak dibina oleh Shell di Lutong, Miri pada 1914.

Pada tahun sama, Shell turut membina saluran paip dasar laut di Miri, yang ketika itu dianggap sebagai satu inovasi penting dalam pengangkutan minyak mentah dari daratan ke kapal tangki di laut.

Ratusan telaga minyak darat dibangunkan di sekitar Miri dan menjadikan Sarawak antara pengeluar minyak utama di rantau ini.

Peralihan ke luar pesisir (1960-an – 1980-an)

Apabila pengeluaran minyak darat mula berkurangan, aktiviti penerokaan beralih ke laut. Pada 1960, Shell memulakan penerokaan luar pesisir di Baram, membawa kepada penemuan medan minyak Baram pada 1963.

PADA 1914, kilang penapisan minyak pertama di Sarawak dibina oleh Shell di Lutong, Miri. Pada tahun sama, Shell turut membina saluran paip dasar laut di Miri, yang ketika itu dianggap sebagai satu inovasi penting dalam pengangkutan minyak mentah dari daratan ke kapal tangki di laut.

Pada 1968, Medan West Lutong menjadi medan minyak luar pesisir pertama Malaysia yang mengeluarkan minyak secara komersial. Penemuan gas asli yang besar di luar pesisir Sarawak kemudiannya membuka era baharu industri tenaga negeri.

Penubuhan Petronas (1974)

Pada 1974, Kerajaan Persekutuan menubuhkan Petronas melalui Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974. Sejak itu, semua aktiviti petroleum di Malaysia dikendalikan melalui sistem perkongsian pengeluaran (Production Sharing Contract, PSC) antara Petronas dan syarikat minyak seperti Shell. Pada 1976, kontrak PSC pertama bagi luar pesisir Sarawak ditandatangani.

Revolusi gas asli dan Bintulu (1980-an)

Sarawak memasuki era gas asli apabila kompleks LNG dibangunkan di Bintulu. Pada 1983, penghantaran pertama gas asli cecair (LNG) dari Bintulu ke Jepun dilakukan. Sejak itu, Bintulu berkembang menjadi antara hab LNG terbesar di dunia dan menjadi penyumbang utama eksport tenaga Malaysia.

Dengan itu juga, Bintulu daripada perkampungan nelayan muncul sebagai bandar baharu dengan pelbagai pembangunan.

Kebangkitam Petros (2017-kini)

Pada 2017, kerajaan Sarawak menubuhkan Petros (Petroleum Sarawak Berhad) bagi meningkatkan penyertaan negeri dalam industri minyak dan gas.

Petros kini terlibat dalam aktiviti huluan, pemasaran gas, infrastruktur tenaga dan pembangunan sumber petroleum Sarawak. Pada 2023, penggerudian minyak darat disambung semula di Adong Kechil West selepas kira-kira 50 tahun, dan pada 2026, Petros memulakan pengeluaran minyak pertamanya dari medan tersebut.

Ia hasil kerjasama Petros dan Petra Energy Berhad (PEB), sebuah syarikat tenaga tempatan yang memulakan perjalanan di Sarawak pada 1988, yang

berjaya memulakan pengeluaran minyak pertama dari Sistem Pengeluaran Awal (EPS) Adong Kechil West (AKW) di Blok SK433.

Projek itu susulan daripada kerja penggerudian telaga penilaian dan pembangunan AKW pada 2023, yang menjadi asas kepada usaha menghidupkan semula pembangunan sumber petroleum darat Sarawak meskipun berdepan kerumitan teknikal dalam pengurusan takungan minyak dan gas darat.

Kepentingan kepada Sarawak

  • Menjadikan Miri dikenali sebagai ‘Bandar Raya Peranginan Minyak’.
  • Melahirkan industri sokongan seperti kejuruteraan, logistik dan pembinaan.
  • Menjadikan Bintulu sebagai hab LNG bertaraf dunia.
  • Menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi negeri melalui cukai jualan negeri (SST), pelaburan dan peluang pekerjaan.
  • Menjadi asas kepada pembangunan ekonomi serta agenda keselamatan tenaga Sarawak.

Era Petros bermula

Segala-galanya bermula pada 30 Oktober 2020 apabila kerajaan Sarawak mengeluarkan pajakan perlombongan kepada syarikat minyak dan gasnya (O&G), Petros untuk menjalankan perlombongan O&G di kawasan pesisir, sekali gus melambangkan permulaan usaha untuk melaksanakan hak Perlembagaan Negeri untuk mengawal selia perlombongan minyak di kawasan pesisir.

PETROS dan Petra meraikan kejayaan penghantaran kapal tangki minyak pertama susulan pengeluaran minyak pertama daripada Sistem Pengeluaran Awal Adong Kechil West, menandakan bermulanya pengeluaran minyak di lapangan berkenaan.

Pajakan itu untuk Adong Kecil West dan blok Engkabang di Daerah Marudi.

Pengeluaran pajakan itu direalisasikan melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958 negeri, yang mengawal selia perlombongan minyak di Sarawak dan pelantar benuanya, serta di bawah Perkara 2 (c) Senarai II (Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Ini berdasarkan hakikat bahawa Ordinan Perlombongan Minyak 1958 tidak pernah dimansuhkan walaupun dalam tempoh Perisytiharan Darurat 1969. Kerajaan negeri amat komited untuk mengawal selia perlombongan minyak di negeri ini untuk melindungi kepentingan dan aspirasi rakyat Sarawak.

Kini, langkah itu mula menampakkan hasil apabila medan Adong Kechil West (AKW) berhampiran Marudi sudah mula mengeluarkan 800 tong sehari atau kira-kira 24,000 tong sebulan.

Fasa seterusnya pembangunan AKW akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan pengeluaran serta infrastruktur penting bagi memastikan bekalan gas dapat disalurkan secara berterusan untuk projek Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri yang disasarkan mula beroperasi menjelang akhir 2027.

Jika AirBorneo hampir berjaya menstabilkan harga tiket ‘belon’ hingga Penerbangan Malaysia dan AirAsia ‘terpaksa’ turut sama menurunkan harga, tidak mustahil selepas ini Sarawak berjaya menstabilkan harga minyak, sekurang-kurangnya di pasaran tempatan di Borneo.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak

Memahami 22 Julai 1963

MINGGU lalu, Sarawak telah meraikan satu peristiwa yang penuh bersejarah, iaitu Hari Sarawak. Sambutan Hari Sarawak menjadi lebih bermakna dengan