BAU: Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman mengadakan sesi dialog bersama penghulu dan ketua kampung Zon Jagoi bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat dalam usaha mengekalkan keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam.
Sesi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau itu dihadiri barisan kepimpinan IPD Bau, ketua-ketua bahagian, ketua polis balai serta 13 penghulu dan ketua kampung yang diketuai Penghulu Jagoi, Sunny Lidei.
Mohd Haide berkata, pertemuan itu bertujuan mengukuhkan hubungan antara polis dan pemimpin masyarakat bagi membendung kegiatan jenayah serta menangani isu keselamatan di Zon Jagoi.
Menurut beliau, pihak polis turut berkongsi perkembangan berkaitan isu keselamatan semasa, bahaya penyalahgunaan dadah serta menekankan peranan masyarakat sebagai mata dan telinga polis.
“Ketua-ketua masyarakat turut diberi peluang mengemukakan pandangan, cadangan serta isu yang dihadapi di kawasan masing-masing supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Antara isu yang dibangkitkan ialah permohonan supaya rondaan polis dipertingkatkan, khususnya di kawasan hujung kampung.
Turut dibincangkan ialah gangguan bunyi bising membabitkan remaja yang menunggang motosikal pada hujung minggu dan waktu malam, selain operasi premis minuman yang dibuka sehingga lewat malam dengan muzik dan aktiviti karaoke.
Mohd Haide berkata, isu penyalahgunaan dadah di kawasan itu masih terkawal, manakala wakil setiap bahagian polis turut memberi penerangan mengenai fungsi dan tanggungjawab masing-masing kepada pemimpin masyarakat.
Beliau berkata, sesi dialog itu berlangsung dalam suasana mesra dan berjaya meningkatkan persefahaman serta komitmen antara PDRM dan pemimpin masyarakat dalam memperkukuh kerjasama demi kesejahteraan penduduk setempat.
Oleh Connie Chieng





