PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan menganjurkan Program Pendaftaran Lesen Anjing Baharu, Vaksin Anti-Rabies dan Pemasangan Mikrocip secara percuma pada 8 Ogos ini di kawasan tempat letak kenderaan SJK Chung Hua Stapok.
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 3.00 petang itu bertujuan menggalakkan pemilik anjing mendapatkan lesen, vaksinasi serta pemasangan mikrocip bagi meningkatkan kawalan penyakit rabies dan memastikan keselamatan komuniti.
MPP memaklumkan, vaksinasi hanya melibatkan anjing yang sihat, berumur melebihi tiga bulan, tidak bunting serta tidak menyusukan anak. Pemilik juga disaran membawa kad vaksinasi haiwan sekiranya ada.
Keutamaan bagi perkhidmatan percuma termasuk vaksinasi, pendaftaran lesen dan pemasangan mikrocip akan diberikan kepada pemilik haiwan yang menetap di kawasan pentadbiran MPP.
Selepas menerima vaksin anti-rabies, pemilik dinasihatkan mengkuarantin dan mengasingkan anjing masing-masing selama 28 hari bagi membolehkan imuniti terhadap rabies terbentuk sepenuhnya serta memastikan haiwan tersebut kekal berada dalam kawasan kediaman.
MPP turut mengingatkan bahawa pemilik haiwan yang gagal mendapatkan lesen dan vaksinasi boleh dikenakan tindakan kompaun mengikut peruntukan yang berkuat kuasa.
Orang ramai digalakkan merebut peluang program percuma ini sebagai langkah melindungi haiwan peliharaan serta membantu mencegah penularan rabies dalam komuniti.




