BINTULU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Cawangan Bintulu terus mempergiat penguatkuasaan undang-undang jalan raya menerusi pelaksanaan Ops Motosikal dan HID/LED secara statik di Jalan Tun Ahmad Zaidi, di sini, semalam.
Operasi berkenaan bertujuan meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan yang ditetapkan, selain memastikan kenderaan yang berada di jalan raya berada dalam keadaan selamat serta mematuhi spesifikasi teknikal ditetapkan.

Sepanjang operasi itu dijalankan, sebanyak 355 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan, termasuk memandu tanpa lesen memandu sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, pemeriksaan PUSPAKOM luput, tiada perlindungan insurans serta pelbagai kesalahan berkaitan aspek teknikal kenderaan.
Semua kesalahan yang dikenal pasti telah dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

JPJ Sarawak memaklumkan operasi seumpama itu akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang sentiasa berada pada tahap optimum.
Pada masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memastikan lesen memandu, LKM, perlindungan insurans, pemeriksaan PUSPAKOM serta keadaan teknikal kenderaan masing-masing sentiasa sah dan mematuhi spesifikasi ditetapkan sebelum menggunakan kenderaan di jalan raya.





