Usahawan wanita Bukit Saban disaran perkasa produk, tembusi pasaran antarabangsa

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas menyampaikan geran bantuan berjumlah RM1,062,576 disalurkan kepada 55 penerima. Foto: Douglas Uggah Embas Official

SPAOH, 18 Oktober: Usahawan wanita di kawasan Bukit Saban perlu berani melangkah ke pasaran lebih luas dengan meningkatkan kualiti produk, memperkemas pembungkusan serta memanfaatkan teknologi bagi memastikan hasil tempatan mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha memperkukuh keupayaan usahawan tempatan perlu disokong latihan bersesuaian, bimbingan berterusan dan penggunaan teknologi yang mampu meningkatkan mutu serta nilai komersial produk.

Menurutnya, penghasilan produk berkualiti sahaja tidak mencukupi sekiranya aspek pembungkusan dan persembahan tidak memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Usahawan bukan sahaja perlu menghasilkan produk yang berkualiti, tetapi juga memastikan pembungkusan dan persembahannya memenuhi keperluan pasaran. 

“Dengan kemahiran dan sokongan yang sesuai, produk tempatan berpotensi menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini, hari ini.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas merakamkan gambar bersama penerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM). Foto: Douglas Uggah Embas Official

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, kerjasama dengan agensi berkaitan, khususnya Majlis Amanah Rakyat (MARA), perlu diperkukuh menerusi penyediaan latihan khusus yang menepati keperluan sebenar pengusaha, terutama dalam aspek peningkatan mutu produk dan teknologi pembungkusan.

Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat pengusaha dari Singapura yang menunjukkan minat untuk membeli reka bentuk tempatan dari Sarawak, sekali gus membuktikan hasil kreativiti anak tempatan berpotensi mendapat tempat di pasaran luar negara.

Katanya, peluang tersebut perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan memastikan usahawan memiliki kemahiran, motivasi dan keupayaan untuk memenuhi permintaan pasaran, sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan perniagaan yang lebih mampan.

Dalam majlis sama, bantuan berjumlah RM1,062,576 disalurkan kepada 55 penerima, merangkumi kemudahan pembiayaan perniagaan, geran pembangunan usahawan serta bantuan persekolahan daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Ahli Majlis MARA, Siti Hajar Yasin; Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA Malaysia, Datuk Ts. Ahmad Ibrahim serta Residen Bahagian Betong, Datu Michael Abunawas.

Oleh Adi Safarman