Kesilapan di litar bukan alasan serang Lulham – Verstappen

Facebook
WhatsApp
VERSTAPPEN tampil mempertahankan Lulham susulan kecaman dalam talian selepas insiden perlumbaan Kejohanan GT World Challenge Europe. Foto Agensi

LONDON, 18 Oktober: Max Verstappen tampil mempertahankan pelumba Britain, Chris Lulham, susulan kesilapan yang dilakukannya ketika perlumbaan Kejohanan GT World Challenge Europe di Portimao hujung minggu ini, lapor PA Media/dpa.

Lulham menerima kritikan selepas terbabit dalam insiden yang menyebabkannya dikenakan penalti pandu lalu, sekali gus hampir menjejaskan peluang pasukan Verstappen untuk memenangi perlumbaan itu.

Verstappen, juara dunia Formula Satu (F1) empat kali yang mengambil alih pemanduan daripada Lulham pada sejam terakhir perlumbaan, hanya mampu menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan jentera Mercedes yang dipandunya.

Pelumba Belanda itu kemudian menggunakan media sosial untuk mempertahankan Lulham, yang menjadi sasaran kecaman dan gangguan dalam talian susulan penglibatannya dalam perlanggaran dengan Luca Stolz.

Verstappen berkata beliau “berpuas hati” dengan perlumbaan itu, namun turut menegaskan bahawa gangguan terhadap Lulham tidak sepatutnya berlaku.

“Saya juga merasakan perlu bersuara mengenai kebencian dan gangguan yang diterima Chris selepas perlumbaan.

“Semua orang berhak mempunyai pandangan masing-masing mengenai apa yang berlaku di litar, tetapi serangan peribadi seperti ini tidak boleh diterima. Chris mempamerkan prestasi yang sangat baik sepanjang gilirannya memandu dan kesilapan boleh berlaku. Tiada tempat untuk kecaman seperti ini dalam sukan kita atau di mana-mana sekalipun,” katanya. – Bernama