GEDONG, 18 Oktober: Sarawak memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan penularan penyakit berjangkit seperti COVID-19 menerusi penubuhan pusat penyelidikan penyakit tropika, pembangunan kepakaran saintifik serta penyediaan kemudahan makmal.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengalaman menghadapi pandemik COVID-19 menjadi antara asas kepada hala tuju pembangunan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurutnya, pandemik berkenaan menunjukkan bahawa kemunculan penyakit berjangkit baharu boleh berlaku secara tidak dijangka, sekali gus menuntut Sarawak membina keupayaan sendiri dalam penyelidikan dan persediaan menghadapi ancaman kesihatan.
“Dasar PCDS 2030 itu adalah dasar yang tercetus selepas COVID-19. Kita tidak tahu penyakit yang tiba-tiba muncul dan kita juga tidak mengetahui sepenuhnya sumber penyakit yang boleh berjangkit ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Gerak Mula Program Satu Pemimpin Satu Kampung di Gedong, hari ini.

Jelasnya, susulan pandemik itu, kerajaan Sarawak menubuhkan pusat penyelidikan penyakit tropika dan berjangkit bagi meningkatkan keupayaan menjalankan penyelidikan serta membuat persediaan menghadapi kemungkinan penularan penyakit pada masa depan.
Menurutnya, pusat berkenaan disokong pakar perubatan dan saintis yang menjalankan kajian berkaitan penyakit tropika, selain mempunyai kemudahan makmal di Samarahan serta makmal penyelidikan bergerak untuk membantu memantau perkembangan penyakit dalam masyarakat.
“Kalau pun ada penyakit berjangkit timbul pada masa depan, kita bersedia dengan ubatnya untuk masa depan,” katanya.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM400 juta daripada dana sendiri bagi membangunkan pusat penyelidikan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan penyelidikan dan kepakaran tempatan.
Katanya, kerajaan Sarawak turut menghantar anak tempatan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan pembangunan ubat-ubatan ke peringkat lebih tinggi, termasuk sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Menurutnya, pembangunan kepakaran dalam bidang berkenaan penting bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga pakar yang mampu menyumbang kepada penyelidikan penyakit berjangkit serta pembangunan ubat-ubatan pada masa depan.
Jelasnya, usaha itu mencerminkan kepentingan ilmu pengetahuan, teknologi dan pembangunan modal insan dalam merealisasikan aspirasi PCDS 2030, selain memastikan Sarawak lebih bersedia menghadapi cabaran kesihatan pada masa depan.
Oleh Afiq Sallehi



