LAWAS: Jambatan Baharu Bandar Lawas yang dijangka dibuka kepada orang awam pada Oktober ini, bakal merintis fasa baharu pembangunan bandar di daerah tersebut dengan menyediakan laluan terus antara bahagian utara dan selatan bandar berkenaan.
Jambatan itu juga dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan dari sekitar 50 minit kepada 25 minit, sekali gus meningkatkan keterhubungan dan kebolehcapaian bagi penduduk di kawasan tersebut.
Pada masa ini, penduduk yang menyeberangi Sungai Lawas bergantung sama ada kepada perkhidmatan bot sungai yang telah lama beroperasi atau melakukan perjalanan melalui rangkaian jalan raya sedia ada, dengan pilihan kedua menuntut masa perjalanan yang jauh lebih panjang untuk tiba di seberang sungai.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Koridor (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni berkata projek bernilai RM149 juta itu, telah mencapai 97 peratus penyiapan fizikal setakat Jun tahun ini dan kekal mendahului jadual, dengan hanya kerja-kerja seni bina dan kemasan sahaja yang tinggal sebelum sasaran penyiapannya pada bulan September.
“Kerja-kerja yang berbaki termasuklah pemasangan kubah hiasan dan gerbang utama jambatan, sistem pencahayaan serta penambahan nilai estetik lain yang akan memberikan laluan tersebut identitinya yang tersendiri.
“Kerja-kerja struktur utama telah disiapkan dan projek ini sedang berjalan mendahului jadual. Apabila siap kelak, jambatan ini akan menjadi laluan pengangkutan utama yang menghubungkan Merapok dan Bandar Lawas, di samping berfungsi sebagai mercu tanda baharu bagi daerah tersebut,” katanya kepada Bernama.
Selain meningkatkan kebolehcapaian, Ismawi berkata jambatan tersebut akan menyokong pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian pada masa hadapan, sambil mencipta peluang baharu untuk perdagangan, pelancongan dan pelaburan di daerah itu.

Beliau berkata projek itu juga merupakan sebahagian daripada pelan RECODA yang lebih meluas untuk menjadikan Lawas sebagai pintu masuk utara Sarawak yang menghubungkan negeri itu dengan Sabah, Brunei dan Kalimantan di bawah Pelan Kawasan Tindakan Trusan, Sundar dan Merapok.
“Jambatan ini turut dilengkapi oleh projek infrastruktur strategik yang lain, termasuk Lebuhraya Pesisir Pantai Utara, Lapangan Terbang Lawas yang baharu di Sundar serta kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang dinaik taraf, yang akan memperkukuh lagi mobiliti rentas sempadan dan aktiviti ekonomi,” katanya.
Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan penduduk, jambatan ini bermakna lebih daripada sekadar satu lagi projek infrastruktur kerana ia turut menjanjikan perjalanan ulang-alik harian yang lebih mudah dan pantas.
Mohd Arwadie Wasli, 35, dari Kampung Belimbing berkata dia kerap menggunakan perkhidmatan bot sungai setiap kali dia perlu menyeberangi Sungai Lawas dengan cepat, memandangkan memandu ke seberang pada masa ini menuntut masa perjalanan yang jauh lebih lama.
“Buat masa ini, kalau nak balik cepat memang kena guna perahu dari Tebingan Sungai Lawas untuk ke kampung seberang. Tambang perahu cuma RM1 sehala, tetapi apabila jambatan siap nanti, kami tidak lagi perlu bergantung kepada perkhidmatan itu dan dapat menjimatkan masa,” katanya.

Seorang lagi penduduk Norhidayatul Afiqah Sa’adi, 29, dari Kampung Seberang Kedai berkata dia telah bergantung pada perkhidmatan bot sungai tersebut sejak kecil dan amat menantikan siapnya jambatan itu, terutamanya kerana perkhidmatan bot biasanya tamat sekitar 6.00 petang.
“Kalau ada kecemasan pada waktu malam, kami terpaksa menggunakan jalan darat yang lebih jauh. Bila jambatan dah siap nanti, kami boleh menyeberang pada bila-bila masa dan perjalanan akan menjadi lebih mudah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datuk Ubaidillah Abdul Latip berkata jambatan sepanjang 642 meter itu, akan memainkan peranan penting dalam menghubungkan bahagian utara dan selatan Bandar Lawas, terutamanya memandangkan tebing bahagian selatan telah dikhaskan untuk pembaharuan dan peluasan bandar pada masa hadapan.
“Signifikan terpenting ialah kertersambungan utara dan selatan bandar Lawas… kita perlu menghubungkan ke selatan bandar lawas, memandangkan ada perancangan bagi projek pembangunan semula bandar di bahagian selatan bandar ini yang sedang dirancangkan kerajaan negeri,” katanya.
Ubaidillah berkata jambatan itu juga akan menjadi mercu tanda seni bina dengan pemasangan lapan kubah hiasan di atas empat menara, satu konsep yang diilhamkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, selepas mengkaji jambatan-jambatan ikonik di luar negara.
Beliau berkata reka bentuk yang tersendiri itu dijangka akan memberikan identiti yang mudah dikenali kepada Lawas, di samping melambangkan transformasi daerah tersebut menjadi sebuah pintu masuk moden di utara Sarawak. – Bernama





