SIBU: Seramai 687 peserta dari dalam dan luar negara akan mengambil bahagian dalam Perlumbaan Bot Laju Kawalan Jauh Antarabangsa Sibu – Cabaran Sungai 2026 yang berlangsung di Tebingan Pulau Li Hua dari 30 Julai hingga 2 Ogos ini.
Setiausaha Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) merangkap Ketua Sekretariat kejohanan, Maria Nadja Jimmy berkata, acara itu dianjurkan buat kali ketiga oleh DTTG Sibu selepas penganjuran pada 2024 dan 2025.
“Penyertaan kali ini melibatkan peserta dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia serta empat negara luar iaitu Brunei Darussalam, Thailand, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Kehadiran peserta antarabangsa ini membuktikan bahawa kejohanan ini semakin mendapat pengiktirafan sebagai antara acara RC Powerboat utama di rantau Asia Tenggara,” katanya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu di Kompleks Islam Sibu, hari ini.
Menurut Maria, Brunei merekodkan penyertaan antarabangsa terbesar dengan 28 peserta, diikuti Thailand (tiga), Indonesia (dua) dan UAE (dua).
Beliau berkata, sebanyak sembilan kategori akan dipertandingkan dengan hadiah wang tunai sehingga RM3,000 bagi setiap kategori utama, selain Anugerah Champion of the Best (Piala DTTG Sibu) yang menawarkan hadiah RM1,000 berserta trofi.
Selain perlumbaan, orang ramai turut boleh menyertai pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna dan membuat lakaran, pertandingan menyumpit terbuka, cabutan tiket bertuah serta gerai jualan makanan, minuman dan cenderamata rasmi kejohanan.
Majlis perasmian dijadual disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong pada 30 Julai, manakala majlis penutupan dan penyampaian hadiah pada 2 Ogos akan disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing.
Oleh Tarani Lanting





