MIRI: Kehadiran seekor biawak di dapur sebuah rumah di Jalan Maigold 1, di sini mencetuskan panik penghuni sehingga terpaksa mendapatkan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong untuk menangkap reptilia berkenaan hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.56 petang sebelum sepasukan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada 5.07 petang, pasukan operasi mendapati benar terdapat seekor biawak berada di bahagian dapur rumah seperti yang dilaporkan.
“Anggota kemudian membuat penilaian situasi sebelum menggunakan penjerut bagi menangkap biawak tersebut,” katanya.
Menurut Henry, operasi yang bermula pada 5.08 petang itu berjaya diselesaikan hanya dalam tempoh kira-kira dua minit tanpa sebarang insiden, manakala tiada kecederaan dilaporkan.
Oleh Liong Chai Ling





