ASAJAYA: Majlis pelancaran ‘Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS 202’ dan program ‘SABERKAS Prihatin’ bagi cawangan Asajaya telah dianjur secara sederhana pada Selasa lalu di Dewan Masyarakat Kampung Tambirat Lot, Asajaya.
Majlis perasmian kedua program itu telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan merangkap Presiden SABERKAS, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Dalam ucapan beliau, Datuk Abdul Karim menyeru kepada ahli-ahli SABERKAS untuk meneruskan lagi usaha murni ini bagi mendekatkan diri mereka dengan golongan masyarakat terutama dalam kalangan belia.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada SABERKAS cawangan Asajaya kerana berjaya mengadakan beberapa siri program seperti Ziarah Kasih yang merupakan satu usaha yang baik untuk memperlihatkan SABERKAS bukan sahaja aktif dari aspek kesukanan, latihan dan sosial sahaja malah turut mengetengahkan ahli-ahli dalam bidang kemasyarakatan dan kesukarelawanan.
“Semoga lebih ramai ahli SABERKAS di cawangan Asajaya dan juga dikawasan lain akan terus menggerakkan usaha seperti ini agar lebih ramai masyarakat terutama golongan belia akan menerima kesan baik daripadanya kelak,” kata Datuk Abdul Karim di majlis yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, Ahli Undangan Negeri (ADUN) N77 Telang Usan, Dennis Ngau merangkap Naib Presiden SABERKAS, ADUN N22 Kedup, Martin Ben dan ADUN N24 Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo.
Karim menambah, SABERKAS melalui program prihatinnya akan terus kekal komited dalam membantu masyarakat khasnya mereka yang berada dalam keadaan kesulitan sama ada disebabkan oleh bencana alam, isu kesihatan global, ekonomi dan juga sosial.
Selain itu, program SABERKAS Prihatin ini juga diharapkan akan menjadi platform untuk golongan belia dan kepimpinan SABERKAS dapat menyalurkan khidmat serta sumbangan mereka kepada masyarakat secara lebih dekat, praktikal dan berkesan.
Selain itu, SABERKAS Prihatin juga akan menjadi platform terbaik untuknya menjadi lebih dikenali di mata masyarakat, serta menarik lebih ramai golongan muda untuk menjadi ahli pada masa akan datang.
Justeru, Karim mengalu-alukan semua cawangan SABERKAS untuk tampil memohon peruntukan dan seterusnya memudahkan mereka menyumbang balik kepada masyarakat serta golongan yang memerlukan.
“Setakat ini kita telah menerima beberapa permohonan daripada cawangan, dan jumlah ini dijangka akan menjadi lebih pada masa akan datang. Bagi tujuan berkenaan SABERKAS telah bersetuju untuk memperuntukkan dana sejumlah RM3,000 kepada setiap cawangan secara keseluruhannya dan dana yang bakal diperuntukkan adalah sebanyak RM246,000 dibawah program SABERKAS Prihatin,” kata Karim mengenai dana untuk program SABERKAS Prihatin yang dilancar pada 8 Mac lalu.
Bagi melaksanakan program Jerayawara Bubur Lambuk anjuran SABERKAS pada tahun ini, Karim berkata setiap cawangannya telah diberi peruntukkan dana sebanyak RM1,000 dengan secara keseluruhannya pada tahun ini sebanyak RM 64,000.00 telah diperuntukkan.
Pada tahun ini, sebanyak 64 lokasi telah dipilih untuk penganjuran Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS dan program kali ini merupakan yang terbesar setakat ini sepanjang 17 tahun ianya dilaksanakan.
Keadaan ini juga menunjukkan bahawa SABERKAS semakin mendapat tempat dan memainkan peranan cukup besar dalam masyarakat khasnya dalam menggerakkan usaha dan program berbentuk kesukarelawanan.
Oleh NUR AIN OTSMAN