Jalan terowong pertama Sarawak sepanjang 2.24 kilometer dibina di Bukit Pagon

Facebook
WhatsApp
PEMBINAAN terowong jalan raya pertama Sarawak sepanjang 2.24 kilometer di Bukit Pagon, Lawas menerusi Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2). Foto JKR

KUCHING, 24 Oktober: Sarawak bakal memiliki terowong jalan raya pertama sepanjang 2.24 kilometer yang kini dalam pembinaan di Bukit Pagon, Lawas menerusi Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2).

Perkembangan projek itu dikongsikan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Ir Dr Cassidy Morris menerusi kenyataan Facebook rasmi beliau yang menyifatkan pembinaan terowong berkenaan sebagai satu pencapaian penting dalam pembangunan kejuruteraan infrastruktur di Sarawak.

Menurutnya, pembinaan jalan raya merentasi kawasan pergunungan memerlukan kepakaran kejuruteraan dan penggunaan teknologi bagi mengatasi cabaran bentuk muka bumi.

Beliau berkata, projek berkenaan bukan sekadar melibatkan pembinaan terowong menembusi kawasan gunung, malah bertujuan membuka laluan baharu, memperkukuh jaringan perhubungan serta meningkatkan aksesibiliti antara Sarawak dengan Sabah.

Pembinaan terowong itu dijangka menjadi satu lagi mercu tanda kejuruteraan infrastruktur Sarawak, khususnya dalam usaha meningkatkan hubungan perhubungan di kawasan yang sebelum ini berdepan kekangan bentuk muka bumi.

Cassidy turut menyifatkan projek berkenaan sebagai perkembangan penting dalam usaha membuka laluan baharu dan memperkukuh jaringan infrastruktur di wilayah ini.

Oleh Afiq Sallehi