Perkukuh amaran awal, intervensi bersepadu bagi mencegah keganasan di sekolah – Penganalisis

Facebook
WhatsApp
Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 24 Oktober: Malaysia perlu memperkukuh mekanisme amaran awal yang menghubungkan pihak sekolah dengan agensi keselamatan, kesihatan dan perlindungan kanak-kanak bagi memastikan tanda-tanda kemungkinan berlakunya keganasan membawa kepada tindakan intervensi yang tepat pada masanya.

Penganalisis keselamatan merangkap Pengasas dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Chasseur Munira Mustaffa berkata usaha itu memerlukan kakitangan terlatih, saluran pelaporan yang jelas serta proses bersama yang membolehkan agensi berkaitan mengambil tindakan terhadap kebimbangan yang dibangkitkan di sekolah.

“Nasihat saya kepada kerajaan adalah untuk melabur lebih banyak dalam usaha pencegahan dan amaran awal, selain sentiasa mengikuti perkembangan penyelidikan baharu mengenai ancaman yang sedang muncul serta lebih tangkas dalam mengaplikasikannya.

“Ancaman ini merentasi bidang keselamatan, psikologi, pendidikan dan keselamatan dalam talian. Oleh itu, amaran awal paling berkesan apabila berasaskan kepakaran khusus dalam bidang masing-masing yang dibangunkan secara berterusan, memandangkan dasar yang dibina berasaskan kerangka umum atau khidmat perundingan jangka pendek tidak dapat bertahan dengan baik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas langkah-langkah mencegah keganasan di sekolah susulan insiden seorang guru wanita cedera selepas dipercayai diserang oleh seorang pelajar lelaki tingkatan empat di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching pada 21 Oktober lepas. 

Munira berkata usaha antara agensi untuk membangunkan kerangka Amaran Awal dan Tindak Balas Awal (EWER) bagi menangani ekstremisme ganas menyediakan asas yang boleh diperluas kepada ancaman baharu yang muncul serta dihubungkan dengan pihak sekolah menerusi pasukan pelbagai disiplin di peringkat sekolah atau daerah.

Beliau berkata sekolah perlu berfungsi sebagai titik hubungan pertama dengan sokongan pegawai perhubungan sekolah daripada pihak polis serta guru bimbingan dan kaunseling manakala profesional kesihatan perlu menerajui intervensi apabila terdapat petunjuk berkaitan kesihatan mental atau risiko bunuh diri, dan tindakan penguatkuasaan oleh polis pula perlu dikhususkan kepada ancaman yang boleh dipercayai atau situasi yang melibatkan akses kepada senjata.

Guru memerlukan panduan yang mudah difahami serta saluran rujukan untuk menangani tanda-tanda amaran seperti kenyataan yang membayangkan niat untuk mencederakan orang lain, amaran kepada rakan sebaya supaya menjauhkan diri pada hari tertentu dan perkongsian bahan yang mengagungkan keganasan.

“Bagaimanapun, tiada satu pun tanda ini seharusnya dianggap sebagai satu-satunya petunjuk. Tanda-tanda itu perlu terkumpul sebelum menimbulkan kebimbangan yang serius.

“Tekanan emosi biasa dalam kalangan remaja juga berbeza daripada ancaman kerana keadaan itu jarang disertai perancangan, akses kepada senjata atau kenyataan yang menyatakan niat untuk mencederakan orang lain. Oleh itu, latihan perlu memberikan tumpuan kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan dan peningkatan tahap ancaman manakala sebarang kebimbangan perlu dinilai oleh golongan profesional yang terlatih,” katanya. 

Munira berkata langkah segera perlu memberi tumpuan kepada penambahbaikan sokongan sedia ada dan bukannya menjadikan sekolah sebagai kawasan yang dikawal ketat dengan langkah-langkah keselamatan yang berlebihan, termasuk kunjungan pegawai perhubungan polis yang lebih berkesan serta penyediaan saluran selamat untuk pelajar melaporkan kebimbangan tanpa rasa takut akan tindakan balas.

Beliau ketika mengulas mengenai kandungan keganasan dalam talian berkata cabaran itu merentasi pelbagai platform dan memerlukan tindakan pengendali platform serta pihak pengawal selia, bukannya mengharapkan guru memantau komunikasi peribadi pelajar.

“Mereka tidak mempunyai akses, latihan, sumber dan mandat untuk berbuat demikian. Malah, percubaan untuk melakukannya akan menjejaskan kepercayaan yang membolehkan pelajar tampil membuat laporan sejak awal lagi.

“Dalam hal ini, pihak sekolah boleh mengambil tindakan terhadap kandungan yang disiarkan secara terbuka atau dilaporkan kepada mereka, serta menyalurkan kebimbangan yang boleh dipercayai kepada golongan profesional terlatih, namun pemantauan itu sendiri bukan tanggungjawab mereka,” katanya.

Munira turut menggesa pihak berkuasa supaya menyokong pelaporan insiden dengan segera dan secara telus serta mengiktirafnya sebagai amalan bertanggungjawab yang membantu melindungi pelajar dan komuniti sekolah secara keseluruhan, bukannya sesuatu yang mencerminkan reputasi sesebuah sekolah. – Bernama

Adinda Sultan Terengganu mangkat

KUALA TERENGGANU, 24 Oktober: Adinda Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, iaitu Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Almarhum Sultan

Adinda Sultan Terengganu mangkat

KUALA TERENGGANU, 24 Oktober: Adinda Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, iaitu Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Almarhum Sultan