KUALA LUMPUR, 23 Oktober: Aplikasi navigasi Waze menafikan dakwaan Malaysia bahawa aplikasi itu berpotensi menyalahgunakan data peribadi pengguna, selepas kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi berkenaan susulan kaitannya dengan Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan larangan itu pada Rabu bagi “melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel”.
Hari ini, beliau berkata Malaysia boleh mempertimbangkan larangan sepenuhnya terhadap aplikasi popular itu sekiranya alternatif yang sesuai dikenal pasti.
Malaysia, yang majoriti penduduknya beragama Islam, sejak sekian lama lantang mengkritik Israel dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara itu.
Waze, yang dimiliki Google, diasaskan di Israel dan masih diperbadankan di negara berkenaan.
“Dakwaan bahawa Waze mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan mana-mana pihak menyalahgunakan data peribadi pengguna adalah sama sekali tidak benar,” kata jurucakap Waze dalam kenyataan kepada AFP.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Waze beroperasi berdasarkan dasar privasi yang ketat bagi melindungi data pengguna serta mematuhi piawaian perlindungan data antarabangsa.
Anwar berkata Malaysia perlu meneliti alternatif kepada Waze dan menambah bahawa kerajaan mungkin mempertimbangkan larangan sepenuhnya jika “keupayaan kita mencukupi pada masa hadapan”.
“Keputusan kita bukan sesuatu yang kontroversial,” kata beliau, sambil menambah bahawa Malaysia sedang “dipantau” kerana pendiriannya menentang Israel.
“Mereka akan menggunakan segala pengaruh untuk menentang kita,” kata Anwar sambil menyifatkan perkara itu sebagai “isu keselamatan negara”.
Menteri Digital Gobind Singh Deo memberitahu Parlimen semalam bahawa larangan itu hanya terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat atas pertimbangan keselamatan data dan perundangan kerana “data pengguna tertakluk kepada bidang kuasa Israel”.
Kerajaan bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai sebab larangan itu dilaksanakan atau kaedah penguatkuasaan dan pemantauannya.
Majlis Keselamatan Negara semalam memberi amaran bahawa penjawat awam yang ingkar terhadap larangan serta-merta itu “boleh dikenakan tindakan tatatertib”.
Pada Rabu, Anwar mencadangkan pengguna Waze, yang menggunakan data pemandu untuk menyediakan maklumat trafik masa nyata, beralih kepada platform lain seperti TuJu, aplikasi navigasi jalan raya yang dibangunkan di Malaysia.
Waze digunakan secara meluas di Malaysia, termasuk sebagai aplikasi navigasi alternatif oleh pemandu yang menyediakan perkhidmatan e-panggilan Grab.
Bekas Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen, Lim Guan Eng, berkata ramai rakyat Malaysia mengadu bahawa aplikasi TuJu “tidak berkesan dan tidak sepatutnya diwajibkan sebagai pengganti Waze”. – AFP




