KUALA LUMPUR, 23 Oktober: Pasukan teknikal Aplikasi Navigasi Lebuh Raya TuJu sedang melaksanakan kerja pemulihan dan penambahbaikan fungsi navigasi yang disasarkan selesai selewat-lewatnya pada 6 November ini.
Pihak Pengurusan TuJu dalam kenyataan menjelaskan perkembangan kerja pemulihan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TuJu, manakala fungsi lain dalam aplikasi itu boleh digunakan seperti biasa.
Sehubungan dengan itu, TuJu memohon maaf kepada pengguna yang mengalami gangguan pada fungsi navigasi sejak beberapa hari lepas.
“Kami mengambil serius kesulitan yang dialami serta menghargai pandangan dan teguran pengguna terhadap perkhidmatan kami.
“Keutamaan kami ialah memastikan fungsi navigasi kembali beroperasi dengan stabil dan lancar serta memenuhi keperluan perjalanan pengguna,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu, TuJu berterima kasih atas kesabaran, sokongan dan dukungan para pengguna, sementara setiap laporan serta maklum balas membantu pihaknya mengenal pasti masalah dan melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan.
“Kami akan terus berusaha memenuhi harapan pengguna agar TuJu menjadi antara aplikasi navigasi terbaik yang mengutamakan keselamatan data rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan orang ramai untuk menggunakan TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.
Langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel. – Bernama





