BINTULU: Penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 terus mengukuhkan peranan Bintulu sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat menerusi penglibatan peserta dari pelbagai negara dan usahawan tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, festival berprestij itu bukan sahaja memperkenalkan Bintulu kepada masyarakat antarabangsa, malah mewujudkan peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan, perusahaan kecil serta komuniti setempat.

“BIKF bukan sekadar sebuah festival. Ia menjadi platform yang menggerakkan sektor pelancongan, memperkasa perniagaan tempatan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian BIKF 2026 yang berlangsung di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini, hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Mohd Ansari Mohd Syed Ahmad berkata, festival edisi ke-19 itu menghimpunkan 154 pemain layang-layang dari 19 negara, selain penyertaan peserta dari 10 negeri di Malaysia, sekali gus mencerminkan reputasi BIKF sebagai antara festival layang-layang antarabangsa yang semakin mendapat perhatian.

Katanya, sambutan yang diterima tahun ini amat membanggakan meskipun penganjuran berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global, kenaikan tambang penerbangan dan perubahan jadual perjalanan.
Beliau memberitahu, BIKF turut memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan menerusi pelbagai pengisian sepanjang lima hari penganjuran.
Antaranya, persembahan layang-layang gergasi, pertunjukan layang-layang bercahaya (LED), Perarakan BIKF serta Ekspo Perdagangan yang melibatkan 160 usahawan tempatan.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Morshidi Frederick; ADUN Jepak, Iskandar Turkee; Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari; serta Timbalan Pengurus Besar BDA, Abdul Rahim Abdullah.
Oleh Carolyne Utih




