BINTULU: Langit Bintulu mula dihiasi pelbagai bentuk dan warna layang-layang dari dalam serta luar negara apabila peserta memulakan sesi penerbangan pada hari pertama Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, hari ini.
Sambutan Hari Sarawak yang diraikan hari ini turut menambah kemeriahan festival apabila cuti umum memberi peluang kepada orang ramai berkunjung ke tapak acara untuk menyaksikan keunikan layang-layang yang diterbangkan peserta tempatan dan antarabangsa.

Sejak tengah hari, peserta dari pelbagai negara dilihat membuat persiapan dengan memasang dan membentangkan layang-layang masing-masing sebelum menerbangkannya sebaik keadaan angin mengizinkan. Pelbagai layang-layang berwarna-warni dengan rekaan unik serta bersaiz gergasi memenuhi ruang udara, sekali gus mencuri perhatian pengunjung.
Orang ramai daripada pelbagai peringkat usia tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video sambil meluangkan masa bersama keluarga menikmati suasana festival yang berlangsung meriah.
Salah seorang pengunjung, Safiuddin, 37, berkata beliau teruja menghadiri BIKF 2026 pada hari pertama kerana ingin melihat sendiri persembahan layang-layang dari pelbagai negara.
“Walaupun baru hari pertama, kemeriahan festival sudah jelas terasa dengan kehadiran ramai pengunjung serta pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran kali ini turut menawarkan lebih banyak pilihan makanan dan minuman daripada pelbagai negeri, sekali gus menambah tarikan kepada pengunjung.
“Saya bukan sahaja datang untuk melihat layang-layang, malah mahu mencuba pelbagai makanan dan minuman yang dijual. Pilihannya juga lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Nadzren, 35, dari Sibu berkata, beliau sanggup datang ke Bintulu bersama keluarga bagi menikmati kemeriahan festival itu.
Menurutnya, anak-anaknya turut menyertai pelbagai aktiviti sampingan termasuk bengkel membuat layang-layang yang memberi pengalaman baharu kepada mereka.

“Ini kali ketiga saya datang ke BIKF. Setiap tahun festival ini mempunyai tarikan tersendiri dan kali ini saya gembira melihat anak-anak dapat menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, pihak penganjur memaklumkan lebih 150 usahawan mengambil bahagian sepanjang BIKF 2026 dengan lebih 100 khemah jualan disediakan di tapak festival.
Deretan khemah sepanjang hampir satu kilometer menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman, kraftangan dan produk tempatan, selain menjadi tumpuan pengunjung sejak tengah hari.

Pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan sepanjang festival, antaranya bengkel membuat layang-layang, mewarna wajah untuk kanak-kanak, pameran serta aktiviti interaktif yang berlangsung sehingga 26 Julai.
BIKF 2026 dijangka terus meriah esok dengan majlis perasmian rasmi yang dijadual berlangsung pada sebelah pagi.
Oleh Faizah Muzidi



