SERIAN: Seramai 254 petugas barisan hadapan menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Dewan Masyarakat Serian pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus memohon agar rakyat khususnya penduduk di Serian mendaftar untuk program vaksinasi.
“Ia adalah tanggungjawab mereka demi kesihatan diri dan keluarga.
“Saya menyeru kepada mereka yang belum mendaftar untuk segera mendaftar samada melalui Aplikasi MySejahtera, Klinik Kesihatan terdekat dan menerusi laman web www.vaksincovid.gov.my,” katanya.
Sementara itu, turut hadir menerima suntikan kedua vaksin tersebut ialah Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur (Jepun, Korea Selatan dan Taiwan) merangkap Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem.
Beliau turut menyeru agar masyarakat di kawasan Parlimen Serian untuk mendaftar diri bagi pengambilan vaksin.
“Vaksinasi ini adalah untuk kebaikan sendiri dan untuk kebaikan orang lain, jangan takut atau risau untuk disuntik kerana vaksin ini penting,” jelasnya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO