MIRI, 19 Oktober: Seorang lelaki maut manakala pemboncengnya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan terbabas ke bahu jalan di Jalan Bekenu, berhampiran Kampung Seburau, Bekenu, awal pagi tadi.
Ketika kejadian kira-kira 1.20 pagi itu, penunggang berusia 21 tahun bersama pemboncengnya yang berusia 30 tahun sedang dalam perjalanan dari Pekan Bekenu menuju ke Kampung Subak.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Tun Haji Openg Bekenu, manakala pemboncengnya mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.
“Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan terbabas ke bahu jalan di sebelah kanan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Faizul Ab Rahim, menerusi talian 014-8582582 atau 085-430479, atau menghubungi balai polis berhampiran.
Oleh Liong Chai Ling





