Rayuan bantuan kerajaan terbuka kepada golongan terjejas kewangan termasuk M40 – Liew

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Kewangan Liew Chin Tong ketika pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Kerajaan sentiasa membuka ruang rayuan bantuan kepada mereka yang mengalami perubahan status kewangan, termasuk golongan pertengahan (M40) yang kehilangan pekerjaan, bagi membolehkan permohonan mereka dinilai semula berdasarkan keadaan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata mekanisme rayuan itu membolehkan penerima yang tidak lagi memenuhi syarat berdasarkan rekod terdahulu mengemukakan permohonan semula sekiranya keadaan kewangan mereka berubah.

“Walaupun dalam keadaan pengangguran, sebenarnya rayuan dibuka setiap hari dan setiap penerima bantuan boleh membuat rayuan kalau status sedia ada telah berubah. Mereka boleh buat rayuan setiap hari,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai mekanisme bagi memastikan golongan M40 yang kehilangan pekerjaan dan mengalami kemerosotan pendapatan dinilai semula kelayakan serta bantuan bersasar berdasarkan kedudukan kewangan semasa.

Pada masa sama, Liew berkata kerajaan berhasrat memperbesar kumpulan kelas pertengahan sehingga jumlahnya melebihi golongan B40 sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

“Masalah sebenar negara kita ialah kelas pertengahan ini kurang daripada golongan yang lebih miskin. Kerajaan berhasrat satu hari nanti kita ada kelas pertengahan yang lebih besar daripada kelas B40. Itu hasrat yang kita harap boleh diwujudkan,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata kerajaan mendengar keresahan golongan M40 yang cekal bersabar meskipun turut terhimpit dengan beban kos sara hidup, dengan beberapa inisiatif diterjemahkan menerusi Belanjawan 2027.

Beliau berkata antara inisiatif itu ialah peningkatan had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010, daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Selain itu, pelepasan cukai individu turut diperluas bagi rawatan perubatan dengan meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, manakala pelepasan bagi yuran pengajian dan kemahiran diperluas kepada semua bidang pengajian serta tuisyen anak.

Beliau menjawab soalan asal Adnan yang ingin mengetahui langkah membantu isi rumah M40 yang tidak lagi layak menerima bantuan bersasar tetapi terkesan akibat peningkatan kos sara hidup. – Bernama