KUCHING: AirBorneo Airways (AirBorneo) mengumumkan pembukaan jualan tiket bagi laluan baharu ke Kuala Lumpur, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha syarikat penerbangan itu memperkukuh hubungan udara antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia, selain memperluaskan akses ke destinasi domestik serta antarabangsa.
Perkhidmatan baharu itu akan beroperasi dua kali sehari antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, sekali gus mengukuhkan peranan Kuching sebagai pintu masuk strategik serta menawarkan kemudahan dan kesalinghubungan yang lebih baik kepada pelancong dan pengembara perniagaan.
Bagi meraikan pelancarannya, AirBorneo memperkenalkan tambang promosi ‘Sarawakku Sayang’ iaitu RM375 bagi tiket sehala Kelas Ekonomi dan bermula RM736 bagi tiket sehala Kelas Perniagaan, termasuk cukai lapangan terbang serta surcaj bahan api.
Tempahan dibuka mulai 7 Julai 2026, jam 7 pagi (GMT+8) dengan penerbangan pertama bermula 20 Julai 2026.
Tiket hanya boleh dibeli melalui laman web rasmi AirBorneo dan aplikasi mudah alih AirBorneo.
Dengan menawarkan tiket secara eksklusif melalui saluran tempahan rasmi, AirBorneo memastikan pelanggan menikmati tambang terendah yang disahkan, harga yang telus, transaksi selamat, sokongan pelanggan secara langsung serta kemas kini tempahan masa nyata.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin, berkata pembukaan jualan tiket bagi laluan Kuala Lumpur merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat penerbangan itu.
“Ketika kami terus memperkukuh hubungan Sarawak dengan seluruh Malaysia dan destinasi antarabangsa, Kuala Lumpur menjadi pintu masuk strategik yang membuka akses lebih luas kepada rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa, sekali gus mewujudkan peluang lebih besar dalam sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan perniagaan.
“Sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak, kami komited menghubungkan rakyat, perniagaan dan peluang melalui perkhidmatan udara yang selamat, boleh dipercayai dan mampu milik.
“Pengenalan tambang ‘Sarawakku Sayang’ adalah sebahagian daripada komitmen itu bagi menjadikan perjalanan lebih mudah diakses, di samping menyokong aspirasi Sarawak dalam memperkukuh kesalinghubungan, pelancongan dan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.
Laluan Kuala Lumpur merupakan pencapaian pertama dalam strategi peluasan rangkaian jangka panjang AirBorneo.
Seiring pertumbuhan syarikat, AirBorneo akan terus komited memperkukuh hubungan udara Sarawak, menyokong pembangunan pelancongan dan ekonomi serta menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat, boleh dipercayai dan menawarkan nilai terbaik kepada masyarakat.
Oleh KD