Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Maritim Miri tahan vesel tunda disyaki seludup barang
  • JENAYAH

Maritim Miri tahan vesel tunda disyaki seludup barang

Utusan Sarawak 7 hours ago
 DITAHAN…tujuh kru termasuk seorang nakhoda, terdiri daripada dua warga Malaysia, tiga warga Indonesia dan dua warga India ditahan untuk tindakan lanjut.
 

MIRI: Sebuah vesel tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri selepas disyaki melakukan beberapa kesalahan, termasuk membawa barang berduti atau barang larangan tanpa kebenaran di perairan Miri, semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, penahanan dilakukan menerusi Op Permai 01/2019, Op Naga dan Op Tiris 4.0 selepas aset ronda Maritim Malaysia mengesan vesel berkenaan sedang bersauh kira-kira 4.6 batu nautika di barat laut Lutong pada 8.00 malam.

Katanya, pasukan pemeriksa kemudian menaiki vesel itu bagi menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen pelayaran, status kru serta pematuhan terhadap peraturan maritim yang berkuat kuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan tujuh kru, termasuk seorang nakhoda, terdiri daripada dua warga Malaysia, tiga warga Indonesia dan dua warga India.

“Siasatan awal mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa barang berduti atau barang larangan menggunakan kapal tempatan tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati vesel itu disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 selepas gagal mengemukakan dokumen kestabilan kapal ketika pemeriksaan dijalankan.

DITAHAN…Sebuah vesel tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Zon Miri selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk membawa barang berduti atau barang larangan tanpa kebenaran di perairan Miri, semalam.

Susulan itu, vesel terbabit ditahan kira-kira 9.00 malam sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Zon Maritim Miri untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Mohd Khairol Anuar menegaskan pihak Maritim akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan semua vesel yang beroperasi di perairan negara mematuhi keperluan perundangan serta aspek keselamatan pelayaran.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim negara dan akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan, ketenteraman serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan komuniti maritim supaya memastikan semua dokumen pelayaran, sijil keselamatan dan kelulusan operasi sentiasa lengkap serta sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri bagi tindakan segera.

Oleh Liong Chai Ling

Continue Reading

Previous: Lelaki rugi RM287,000 diperdaya pelaburan saham dalam talian tidak wujud
Next: Enam saman trafik dikeluarkan dalam operasi kenderaan perdagangan di Bau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.