Sarawak teliti penstrukturan semula program sukan menjelang Sukma 2028

Facebook
WhatsApp
DATUK Gerald Rentap Jabu, Mu'azamir Jili dan Tan Kun Gee bergambar bersama penerima insentif.

KUCHING, 17 Oktober: Sarawak akan meneliti kemungkinan menstruktur semula program pembangunan sukan negeri bagi meningkatkan prestasi atlet menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2028, termasuk memperkukuh aspek kepimpinan, komitmen latihan dan penerapan sains sukan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, penilaian semula itu penting bagi memastikan pelaburan dalam pembangunan sukan dapat diterjemahkan kepada pencapaian yang lebih baik.

Menurutnya, antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah kedudukan atlet yang bertaburan di seluruh Sarawak, sekali gus menyukarkan usaha membentuk pasukan yang mantap dan menjalani latihan secara bersama.

“Isu terbesar kita sebenarnya ialah atlet berada di seluruh Sarawak. Jika mereka tidak dapat dikumpulkan pada satu masa, sukar untuk mereka menjadi satu pasukan, terutamanya bagi sukan berpasukan yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Malam Sambutan Ulang Tahun, Penghargaan dan Anugerah Akuatik Sarawak di The Sarawak Club, di sini, malam ini.

Gerald berkata, program pembangunan sukan perlu dinilai semula bagi mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan, khususnya dalam sukan yang diberikan tumpuan lebih besar untuk melahirkan atlet pelapis negara.

Menurutnya, matlamat jangka panjang bukan sekadar melahirkan atlet yang mampu bersaing pada peringkat Sukma, tetapi turut menyediakan laluan pembangunan agar mereka berupaya mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, perubahan juga mungkin diperlukan dari segi kepimpinan persatuan sukan sekiranya pihak yang menerajui organisasi berkenaan tidak lagi mampu meningkatkan prestasi.

“Bukan jurulatih sahaja, saya fikir ia juga berkaitan kepimpinan. Jika kepimpinan itu tidak lagi mampu memainkan peranan, kita perlu melakukan perubahan.

“Kita tidak mahu mendesak mereka ditukar, tetapi kita mahu melihat komitmen terhadap sukan itu dapat dipertingkatkan,” katanya.

Menurutnya, Sarawak perlu bergerak seiring dengan perkembangan sukan moden yang semakin menekankan penggunaan sains sukan, termasuk pemantauan kecergasan fizikal, pemakanan, kesihatan mental dan kesejahteraan atlet.

Beliau mengambil contoh pelumba berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, yang menurutnya mendapat sokongan beberapa jurulatih dan pakar bagi memenuhi keperluan berbeza dalam persediaan sebagai atlet bertaraf dunia.

Katanya, kejayaan dalam sukan memerlukan pelaburan yang menyeluruh dan tidak boleh bergantung kepada latihan fizikal semata-mata.

“Penting untuk kita melihat keseluruhan ekosistem latihan. Sains sukan dan sokongan, termasuk daripada ibu bapa, amat penting,” katanya.

Dalam pada itu, Gerald berkata, komitmen atlet sendiri perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan program pembangunan yang dilaksanakan oleh agensi sukan negeri memberikan hasil lebih ketara.

Beliau turut mencontohkan pasukan boling yang menjalani latihan sehingga empat jam sehari sebagai gambaran tahap disiplin dan pengorbanan yang diperlukan untuk mencapai prestasi tinggi.

Katanya, pencapaian atlet perlu dinilai berdasarkan hasil yang dicapai, bukannya semata-mata jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan bagi sesuatu program.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia ketika kontinjen negeri bertanding pada Sukma 2026 di Selangor, selain peranan media dalam memberikan liputan kepada atlet.

Menurutnya, sokongan masyarakat dan pendedahan media merupakan sebahagian daripada ekosistem penting dalam membina semangat atlet untuk terus berjuang membawa nama Sarawak.

Sarawak kini perlu memanfaatkan pengalaman Sukma 2026 untuk memperkemas persediaan lebih awal, dengan penekanan terhadap pembangunan atlet secara berstruktur, pengukuhan pasukan dan peningkatan mutu latihan bagi menghadapi temasya 2028.

Oleh Shahrul Qaizat