SBF penghubung kerajaan, komuniti perniagaan perkukuh ekonomi Sarawak

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), malam ini. Foto Ukas

KUCHING, 17 Oktober: Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan komuniti perniagaan dalam memperkukuh kerjasama sektor swasta, menambah baik dasar serta memperluas perdagangan rentas sempadan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta penting bagi mengenal pasti kelemahan sistem dan menambah baik dasar demi kepentingan ekonomi negeri.

Menurutnya, pandangan profesional daripada sektor swasta dapat membantu kerajaan mengenal pasti ruang penambahbaikan serta memastikan dasar yang dilaksanakan memenuhi keperluan ekonomi semasa.

“Peranan institusi sektor swasta adalah penting kerana kita bukan pakar dalam semua perkara.

“Terdapat kelemahan yang mungkin perlu dikenal pasti dan melalui pandangan profesional, kita boleh memperbetulkannya demi kepentingan keseluruhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, kerjasama itu turut melibatkan usaha memperluas perdagangan rentas sempadan menerusi hubungan SBF dengan Dewan Perniagaan Indonesia serta pembentukan Komuniti Perniagaan Borneo.

Menurutnya, kerjasama berkenaan berpotensi membuka peluang kepada komuniti perniagaan di Borneo untuk meneroka bidang perdagangan karbon dan tenaga boleh baharu, selaras dengan peralihan kepada ekonomi hijau.

Beliau berkata, usaha memperkukuh jaringan perniagaan serantau penting untuk membuka lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam sektor baharu yang berpotensi.

Oleh Norman B