
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh komitmennya terhadap pengurusan fasiliti mampan sebagai antara pemacu utama mencapai aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang menekankan pembangunan berasaskan inovasi, teknologi dan pertumbuhan ekonomi mampan.
Komitmen itu ditegaskan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki ketika merasmikan Persidangan Asia Pengurusan Fasiliti Ke-5 (FMAC2026) di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia di sini, hari ini.
Menurut beliau, pengurusan fasiliti tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur baharu semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi operasi, penyelenggaraan dan pengoptimuman aset awam sepanjang kitaran hayat bagi memastikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Katanya, peningkatan skala dan kerumitan infrastruktur awam memerlukan pendekatan lebih strategik dengan kerajaan memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus, dasar, kawal selia dan pemantauan prestasi, manakala sektor swasta memanfaatkan kepakaran, inovasi serta keupayaan operasi dalam penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata, pendekatan itu telah dilaksanakan dalam beberapa sektor dan kini sedang diperluaskan dalam pengurusan aset awam, termasuk operasi loji rawatan air luar bandar serta perkhidmatan sokongan fasiliti kerajaan menerusi model kerjasama awam dan swasta.
“Transformasi ini membolehkan kerajaan bertindak sebagai pemilik aset yang lebih strategik dengan menetapkan piawaian perkhidmatan, mengurus kontrak secara profesional, memantau prestasi dan memastikan setiap perbelanjaan awam memberi nilai terbaik.
“Pada masa sama, penjawat awam dapat memberi tumpuan kepada tanggungjawab bernilai tinggi seperti perancangan strategik, tadbir urus dan pelaksanaan dasar,” katanya.
Beliau turut menggesa sektor awam dan swasta memperkukuh keupayaan masing-masing melalui penggunaan teknologi digital, automasi, penyelenggaraan ramalan dan keputusan berasaskan data bagi meningkatkan prestasi aset, kecekapan operasi serta kualiti penyampaian perkhidmatan.
Persidangan FMAC2026 berlangsung selama dua hari menghimpunkan wakil kerajaan, industri dan institusi akademik bagi membincangkan usaha memperkukuh ekosistem pengurusan fasiliti yang lebih mampan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.