
LIMBANG: Rumah panjang yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 pintu di Sarawak boleh memohon untuk melantik seorang tuai rumah bagi mentadbir kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil berkata, pemilihan tuai rumah perlu memastikan calon mempunyai pengalaman serta tahap pendidikan yang mencukupi bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab dan peranan dengan sebaiknya.
“Jadi berkenaan dengan tuai rumah, kita telah menetapkan syarat tidak kurang daripada 20 pintu untuk layak memohon sebagai seorang tuai rumah.
“Baru-baru ini juga kita menetapkan bahawa tuai rumah mesti mempunyai pengalaman tertentu atau tahap pendidikan yang mencukupi bagi memudahkan lagi pelaksanaan tugas mereka serta urusan berhubung dengan masyarakat lain dan juga kerajaan,” katanya pada majlis Ngiling Tikai Persatuan Iban Limbang (PIL) di Dewan Besar St Edmund, semalam.
Beliau menjelaskan bahawa lantikan ketua masyarakat ketua kaum (KMKK) dilaksanakan oleh unit pentadbiran kementeriannya.
“Untuk jawatan penghulu ini sebenarnya tiada kuota. Ia bergantung kepada keperluan setempat. Jika sesebuah kawasan itu mempunyai penduduk yang ramai, contohnya sehingga 100 rumah panjang, kita boleh bahagikan kepada dua atau tiga orang penghulu bagi memudahkan tugas mereka sebagai ketua masyarakat.”
“Jika dilihat dari segi tugasan penghulu, KMKK memikul tanggungjawab yang amat berat kerana mereka merupakan peringkat pertama yang menangani segala masalah berkaitan rumah panjang, yang lazimnya diselesaikan di peringkat bawah sebelum dibawa ke Pejabat Daerah atau Majlis Adat Istiadat,” ujarnya lagi.
Beliau turut memuji usaha Persatuan Iban Limbang (PIL) yang berjaya menyatupadukan masyarakat Iban di Limbang.
“Ini merupakan satu pencapaian yang menjadi landasan untuk mengumpulkan masyarakat Iban. Bukan untuk melawan atau menentang sesiapa, tetapi kita mahu masyarakat Iban dihormati oleh masyarakat lain. Kita bersatu, sepakat dan padu, dan inilah tujuannya,” ujarnya lagi.
Turut sama isteri Penguang, Pengerusi PIL yang juga Ahli Majlis Tertinggi Pusat PDP Sarawak Ali Adap, dan tetamu lain.
Oleh Adeng Edrus